Wednesday, July 18, 2007

Alam sekitar dan pendidikan

PROGRAM Pelancaran Buku-Buku Alam Sekitar dan Projek Wira Alam yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar dengan didukung bersama oleh IKIM sempena Hari Alam Sekitar seluruh dunia pada 5 Jun, 1998 yang lalu sungguh mengenai sasarannya, iaitu melihat alam sekitar sebagai kurniaan Tuhan yang harus dipelihara dan dijaga. Program itu juga berjaya mengenai golongan sasarannya iaitu para pelajar sekolah yang seharusnya dapat memahami isu ini dengan sebaik-baiknya sejak dari awal lagi, iaitu sejak di sekolah melalui pendidikan formal dan tidak formal.

IKIM bersetuju memberi sumbangan artikel sepenuhnya kepada buku Alam Sekitar Anugerah Tuhan berdasarkan fakta di atas, iaitu mengambil inspirasi keagamaan sebagai wadah penyampaian mesej yang jelas tentang pemeliharaan alam sekitar, dan menyampaikan mesej ini secara saintifik berasaskan fakta-fakta sains supaya ia menjadi lebih berkesan kepada generasi muda untuk mendidik mereka memahami isu ini dan menghayatinya sejak dari alam kanak-kanak lagi.

Selama ini mungkin ramai juga orang yang beranggapan bahawa isu alam sekitar tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agama, dan isu ini juga mungkin dianggap tidak relevan dibicarakan daripada kaca mata agama. Tetapi pihak Jabatan Alam Sekitar melalui kajian dan visinya sekian lama, merasakan bahawa adalah tepat pada masanya, dan amat relevan sekali isu ini dibicarakan daripada perspektif agama, terutamanya untuk pelajar-pelajar sekolah daripada kepelbagaian kaum di negara kita.

Membicarakan soal planet bumi, air, udara, tanah, tumbuhan, haiwan dan manusia adalah membicarakan isu-isu kejadian Tuhan yang amat unik, dan membicarakan isu proses makhluk Tuhan yang sentiasa berkembang dan berubah-ubah.

Pembangunan alam sekitar dan perubahannya melibatkan proses yang amat kompleks iaitu yang membawa kepada kajian saintifik yang memerlukan ilmu pengetahuan yang mendalam. Isu alam sekitar seperti pencemaran udara, air dan lain-lain tidak mudah dibicarakan secara simplistik, terutamanya dari sudut pandangan agama sendiri. Isu ini bukanlah mudah dibicarakan sebagai isu retorika atau takdir secara melulu tanpa mempunyai sebarang penilaian dan analisis undang-undang alam seperti yang banyak diisyaratkan oleh Allah s.w.t. di dalam kitab suci al-Quran.

Dilihat dari konteks ini saya rasa para penyelidik IKIM yang memberi sumbangan artikel kepada buku tersebut telah berjaya mewujudkan satu kombinasi kajian dari sudut pandangan saintifik dan agama bagi tajuk-tajuk yang dibicarakan. Dalam pembangunan ilmu sekarang dimensi agama dan akal haruslah disepadukan dengan sebaik-baiknya berdasarkan konsep keesaan Tuhan.

Sandaran kita kepada ayat-ayat Allah tentang alam sekitar dapat dilihat umpamanya di dalam Surah Ibrahim, ayat 32 dan 33 yang bermaksud:

''Allahlah yang menjadikan langit dan bumi, dan menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan itu Ia keluarkan buah-buahan sebagai rezeki bagi kamu, dan Ia mudahkan bagi kamu kapal bagi kamu supaya ia berjalan di lautan dengan perintah-Nya dan Ia mudahkan bagi kamu sungai-sungai. Dan Ia mudahkan bagi kamu matahari dan bulan yang tetap berjalan, dan Ia mudahkan bagi kamu malam dan siang.''

Dari sini ternyata bahawa isu pemeliharaan alam sekitar bukanlah merupakan isu mudah yang boleh diringan-ringankan, kerana isu ini ditunjangi oleh agama sebagai satu tanggungjawab agama bersumberkan perintah Allah s.w.t.

Bagaimanapun, seperti yang termaklum, semua kebaikan adalah berasal dari rumah, maka demikian jugalah isu penjagaan alam sekitar ini seharusnya juga bermula dari rumah, iaitu dari aspek membentuk sikap dan kefahaman individu untuk menjadi peka kepada isu-isu alam sekitar, maka pendidikan di rumah memainkan peranan yang amat penting dalam hal ini.

Mungkin jika diambil satu sudut penjagaan alam sekitar yang penting, seperti menjaga kebersihan persekitaran umpamanya, maka dalam hal ini penanaman sikap kepekaan terhadap kebersihan amatlah penting dimulai di rumah.

Persoalan-persoalan mudah seperti berapa banyakkah rumah tangga dalam masyarakat kita yang menyediakan bakul-bakul sampah di dalam dan di luar rumah mungkin dapat ditanyakan. Persoalan ini menjadi lebih penting untuk dijawab di rumah-rumah di luar bandar atau di pinggir-pinggir bandar, terutamanya apabila sampah-sarap tidak diuruskan oleh pihak kerajaan tempatan.

Di luar bandar umpamanya adakah penduduknya berusaha menanam sampah-sarap daripada amalan biasa yang mudah selama ini, iaitu dengan membakarnya sahaja? Malah kita mengetahui bahawa membakar sampah adalah merupakan satu perbuatan pencemaran udara yang serius.

Menyentuh persoalan kebersihan ini juga, kita mungkin dapat bertanya lagi, berapa ramaikah isi keluarga yang mengambil tindakan melatih anak-anak mereka menjaga kebersihan bilik air dan tandas di rumah masing-masing supaya sentiasa bersih?

Malah persoalan ini boleh berlarutan kepada persoalan kepekaan anak-anak itu kepada kebersihan rumah tangga dan persekitarannya, apakah hal ini menjadi satu perkara penting dalam kehidupan mereka?

Anak-anak yang tidak dididik beginilah yang akan keluar ke tengah-tengah bandar raya dan sebagainya, dan mereka akan membawa sikap yang sama iaitu tidak peka kepada kebersihan, lalu akan bertindak membuang sampah di sana sini secara sewenang-wenangnya. Mereka jugalah yang tidak peka kepada kebersihan tandas awam dan tidak kisah dengan peraturan menggunakan tandas, maka dengan itu tandas awam akan terus dikotori, dirosakkan dan dibiarkan dalam keadaan yang amat memalukan.

Oleh itu, saya rasa keluarga haruslah memainkan peranan yang lebih bersungguh-sungguh melatih anak-anak supaya menjadi orang yang bersih dan peka kepada kebersihan semasa mereka masih kecil lagi, agar hal ini akan terbentuk menjadi sikap yang positif walau di mana saja mereka berada.

Kita mungkin tidak harus bergantung kepada undang-undang seperti denda kerana membuang sampah yang dikuatkuasakan selama ini, kerana undang-undang itu kelihatan amat sukar dilaksanakan kerana tidak ada penguatkuasaan yang cukup. Kita juga mungkin tidak perlu menunggu Perdana Menteri menegur atau pergi melihat sendiri tempat-tempat yang kotor, tempat pembakaran terbuka dan sebagainya seperti yang pernah dilakukan beliau sejak beberapa tahun dahulu sehingga ke masa-masa yang terakhir ini.

Hal yang demikian saya tegaskan, kerana saya beranggapan bahawa semua pihak seharusnya peka kepada hal ini dan akan mengambil tindakan sendiri dalam menangani perkara ini.

Oleh itu langkah Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Pendidikan seperti yang diucapkan dalam majlis pelancaran buku di IKIM seperti yang disebutkan di atas, merupakan satu pandangan ke hadapan yang amat baik, iaitu cuba memfokuskan agenda pemeliharaan alam sekitar kepada pendidikan murid-murid di sekolah seperti yang dilakonkan juga oleh para pelajar Sekolah Rendah Damansara Utama di dalam majlis tersebut.

Sekiranya benar-benar keluarga dan sekolah dapat memainkan peranan ini secara bersungguh-sungguh, maka saya percaya segala kempen tentang isu-isu alam sekitar akan berkesan dan akan meninggalkan impaknya yang baik termasuk penjelasan yang bersumberkan nilai dan ajaran agama.

1 comment:

azman omar said...

Dr. Saya ingin bertanya ada tak buku pendidikan alam sekitar dan kaitannya dengan faktor keagamaan. saya pelajar phd ingin membuat kajian ttg ini.