Wednesday, July 18, 2007

Selesai masalah cara kita

KETIKA menghadiri satu sesi program Konvensyen Belia Negara _ Menangani Masalah Ekonomi Negara: Antara Pengajaran dan Ujian, pertengahan Mei lalu, seorang wakil belia bangun menyatakan pandangannya bahawa kita semua patut sujud syukur di atas kegawatan ekonomi yang melanda negara sekarang. Kenyataan begitu spontan itu menimbulkan banyak tanda tanya.

Bagaimanapun akhirnya para peserta dapat memahami maksudnya yang sebenar, iaitu bersyukur kepada Allah dalam keadaan ini bukanlah bererti bersyukur kerana negara dan bangsa kita dilanda bencana kegawatan ekonomi yang amat menyakitkan itu, tetapi maksudnya ialah bersyukur kerana kehadiran kegawatan ekonomi telah banyak memberi pengajaran dan iktibar kepada semua pihak.

Saya bersetuju dengan pandangannya bahawa kegawatan ekonomi mengajar kita tentang erti tabungan dan perbelanjaan sederhana, erti dan nilai harta serta wang yang tidak selamanya dapat bertahan dalam kadar yang tertentu, erti sifat tamak dan haloba manusia yang tidak selamanya akan berjaya menghasilkan kebendaan yang melimpah-ruah, malah yang pentingnya erti penghidupan yang sederhana, penuh bahagia, aman dan tenteram dalam semua aspek, bersyukur dan berjihad seterusnya.

Bagaimanapun di atas segala kegawatan yang dirasakan itu, orang ramai tidak seharusnya merasa gelabah, marah, emosi, tidak beradab dan sebagainya. Orang ramai tidak seharusnya cuba membangkitkan emosi pihak-pihak yang tertentu, berlaku kasar, menuding jari kepada orang lain dan berbagai-bagai tindakan yang menambah lagi kekusutan yang sedia ada.

Dalam konteks ini, eloklah direnung dan difikirkan sejenak maksud firman Allah s.w.t. bahawa ''Mungkin apa yang kamu bencikan itu terdapat kebaikan padanya untuk kamu, dan apa yang kamu sukakan itu terdapat keburukan padanya untuk kamu, Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui'' (Al-Baqarah ayat 216).

Berdasarkan hal inilah maka kemerosotan ekonomi yang kita bencikan itu membawakan satu hikmah yang tidak pernah dapat kita gambarkan kebaikannya, iaitu agar apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai lalai dan sia-sia itu dapat kita sedari dan dapat dibuktikan keburukannya.

Namun begitu oleh kerana sesuatu krisis dan kegawatan itu sering menjadikan orang ramai terkejut, kebingungan dan tenggelam punca, maka bagi orang yang bijaksana dan berpengetahuan, mereka seharusnya tidaklah turut gelabah dan menambahkan lagi kegelisahan orang awam.

Maksud saya, seperti yang dapat kita lihat dalam keadaan kegawatan ekonomi di negara kita, pihak yang berkuasa dan kerajaan nampaknya masih dapat bertindak dan berikhtiar secara bijaksana untuk menangani krisis ini. Berbagai-bagai usaha cuba dijalankan oleh pimpinan negara dan pihak-pihak yang berwajib, fokusnya hanya satu iaitu untuk memulihkan ekonomi negara.

Oleh itu amat tidak wajar dalam kemuncak krisis ini isu-isu lain pula dibangkitkan yang boleh menjadi minyak panas untuk dicurahkan ke atas api yang sedang marak.

Orang awam akan menjadi semakin panik sekiranya perasaan tidak tenteram mereka ditokok lagi dengan cerita-cerita dan khabar-khabar angin yang tidak berasas.

Kalau orang di negara jiran berbicara tentang korupsi, kronisme dan nepostisme (KKN) ketika krisis ekonomi sedang memuncak sehingga berlaku pertumpahan darah, kematian orang yang tidak berdosa dan kemusnahan harta benda yang banyak, apakah kita juga harus mengikut rentak gendang itu pada saat genting ini sedangkan kes kita mungkin agak berlainan dan berbeza dari kes mereka?

Memang betul bahawa isu-isu ini merupakan isu-isu negara membangun yang amat ketara, dan seharusnya dibicara dan ditangani dengan bersungguh-sungguh tetapi keseriusan isu itu haruslah pula dianalisis dengan sebaik-baiknya mengikut keadaan setempat dan situasi yang sebenarnya di negara kita dan di negara orang lain. Selama ini pun peluang untuk menonjolkan isu-isu itu terbuka dengan luas, tetapi kenapa ia harus dibangkitkan sekarang, seolah-olah isu itu barah yang amat serius?

Isu-isu ini bukanlah merupakan isu-isu yang boleh dibicarakan secara slogan-slogan, atau isu emosi dan sentimen melulu yang boleh memarakkan perasaan marah secara yang kurang beradab, atau menimbulkan semangat juang secara melulu bagi membakar jiwa dan darah anak-anak muda dan para pelajar kita.

Kalau hal ini dapat dibicarakan secara terbuka kerana negara kita negara demokrasi, maka ia haruslah dibawa melalui saluran dan sistem yang ada secara ikhlas dan jujur kerana sistem kita tidak pernah menghalang pembicaraan apa saja isu untuk kepentingan bersama.

Para sahabat Rasulullah s.a.w. pernah menyuarakan bantahan kepada Baginda dalam Perjanjian Hudaibiyah iaitu ketika Baginda menerima beberapa syarat yang dikenakan oleh pihak kaum Musyrikin kepada orang Islam yang tidak dibenarkan memasuki Mekah pada tahun itu. Salah satu syarat yang diterima Baginda ialah pada tahun itu rombongan Baginda tidak akan dibenarkan masuk ke Mekah. Tetapi mereka akan dibenarkan kembali ke Mekah pada tahun berikutnya.

Akibat dari penerimaan syarat ini terdapat kalangan para sahabat yang memohon kebenaran Baginda untuk menggunakan kekerasan sahaja supaya mereka dapat masuk ke Mekah pada tahun itu juga. Tetapi Baginda tidak setuju, kerana Baginda mempunyai tujuan yang lebih utama, iaitu memasuki Mekah secara aman dan mendapat pengiktirafan daripada orang Musyrikin adalah lebih baik daripada menggunakan kekerasan.

Baginda bersetuju untuk pulang sementara ke Madinah dan datang semula pada tahun hadapan sebagai orang yang telah mendapat kemenangan dan masuk ke Mekah secara yang terhormat.

Fokus Baginda ketika itu ialah menyelesaikan isu perselisihan dan permusuhan ini dengan cara yang terbaik, walaupun Baginda terpaksa berundur setapak tetapi ia dilakukan untuk memungkinkan Baginda esoknya mara tiga tapak ke hadapan.

Panduan perjuangan Baginda ini ialah menjauhkan cara kasar dan permusuhan, sebaliknya mengambil jalan damai dan hikmah dalam mencapai sesuatu objektif perjuangan, terutamanya ketika semua orang sedang berada dalam gelisah dan tertekan.

Ketika gerakan intifadah bersemarak di Palestin menentang penjajahan Yahudi dan memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan negara Arab itu, gerakan ini pada tahun 80-an sering juga dijadikan alasan untuk kembali kepada Islam secara kekerasan, iaitu ketika timbulnya kumpulan-kumpulan anak muda yang menyerang anak-anak gadis dan wanita yang tidak menutup aurat seperti yang pernah berlaku kepada para pelajar Sekolah Ahmad Shawqi di bandar Gaza, dan di jalan-jalan raya serta di tempat lain.

Keadaan ini menjadi satu unsur perpecahan dalam perjuangan rakyat Palestin, yang akhirnya corak intifadah bertukar menjadi konflik perjuangan di antara ''para pemuda intifadah'' dengan golongan kebangsaan berpunca dari isu pakaian wanita. Intifadah yang seharusnya berasaskan kesepaduan bangsa dan agama, bersatu tenaga dan cita-cita, kelihatan agak longgar dan memberi manfaat kepada rejim Yahudi. Perjuangan ''melontar batu'' kepada askar-askar Yahudi akhirnya menjadi medan lempar-melempar batu sama sendiri dengan diketawakan oleh askar-askar Yahudi yang menontonnya.

Oleh itu, dalam menghadapi krisis yang besar seperti krisis ekonomi sekarang, kita haruslah mengatur strategi yang padu dan bulat berdasarkan budaya dan cara hidup kita sendiri. Keadaan sosial dan politik negara kita amatlah unik yang tidak boleh disamakan dengan negara lain. Keadaan ekonomi dan pendidikan di negara kita juga mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang telah lama kita bangunkan sendiri.

Jadi apakah dalam keadaan ini, cara kita mengatasi masalah kita harus kita salin sebagai carbon copy negara orang lain? Apakah dalam keadaan ini kita juga harus bersentimen dan menjadi emosional seperti orang lain? Cubalah cermin ke dalam diri kita sendiri, dan bicaralah isu-isu kita melalui acuan sendiri. Ikutlah firman Allah s.w.t. ''....dan dalam diri kamu, apakah tidak kamu perhatikan...'' (Al-Zariyat, ayat 21).

No comments: