Wednesday, July 18, 2007

Hari Raya dan muhasabah

HARI Raya tahun ini menjelang tiba ketika negara berada di tengah-tengah kemelut ekonomi dan krisis mata wang yang meruncing. Keadaan ini bagaimana pun seharusnya dapat diterima dengan penuh kesabaran, sama seperti kita bersabar menerima semua dugaan Allah selama ini.

Dugaan, cabaran, krisis dan berbagai-bagai kemelut lain adalah merupakan sesuatu yang dialami oleh manusia dari semasa ke semasa, sama ada di peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya.

Kita pernah diduga dengan penyakit ''coxsackie'', bencana alam seperti banjir dan ribut besar, jerebu dan sebagainya. Semuanya telah dapat diatasi dengan ikhtiar kita, doa dan pertolongan Tuhan.

Dugaan yang diterima kali ini kebetulan kemuncaknya berlaku di dalam bulan Ramadan. Maka hakikat ini tentulah ada hikmahnya. Kerana dalam bulan Ramadan kita berlatih menjadi orang yang sabar, yang sanggup menghadapi cabaran, sanggup bersusah payah melawan hawa nafsu dan tuntutan-tuntutan fizikal serta keinginan lainnya. Di dalam bulan Ramadan juga kita belajar menjadi orang yang amanah, jujur, berdisiplin, dan tabah serta berazam untuk mencapai kejayaan yang lebih baik dari yang kita miliki sekarang.

Oleh itu, pelajaran yang kita dapati dalam ibadat puasa itu diharap dapat membantu kita dalam membentuk sikap positif dan tanggungjawab kita bagi mengatasi masalah yang kita hadapi. Di samping itu ia diharap dapat memberi kita wawasan dan cita-cita serta azam yang amat kental untuk bersungguh-sungguh mengatasi masalah.

* Ibadat puasa mengajar kita supaya mengawal diri dan bersikap positif, maka kawallah segala tindakan kita yang sia-sia dan merugikan dalam konteks ekonomi sekarang, seperti amalan membazir, tidak berhemat dalam perbelanjaan dan menghabiskan wang secara sia-sia untuk hiburan melulu dan tidak bermanfaat.

* Ibadat puasa juga mengajar kita menjadi orang yang mempunyai prinsip, yakin kepada diri sendiri dan sentiasa berpandukan ajaran dan nilai-nilai mulia dalam amalan kita. Oleh itu yakinlah kepada barang dan mata wang kita, malah yakinlah kepada diri sendiri bahawa kita boleh melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan.

Kita tentu lebih tahu bagaimana mengatur perbelanjaan keluarga kita secara bijak dan berlandaskan nilai-nilai mulia agama dan budaya sendiri.

* Ibadat puasa juga menanamkan sikap proaktif terhadap perjalanan hidup kita. Kita diwajibkan berniat pada malamnya sebelum kita berpuasa dan niat itu boleh dilakukan pada malam pertama untuk sebulan Ramadan supaya kalau terlupa niat umpamanya maka kita telah pun bersedia terlebih awal untuk menghadapi kemungkinan ini.

Oleh itu dalam menghadapi krisis ekonomi ini, satu pelajaran penting yang harus dimanfaatkan ialah berjimat cermat, tidak boros dan merancang perbelanjaan serta menabung hendaklah dilakukan sebelum krisis ekonomi dan sebelum tibanya masa inflasi, bukan sesudahnya.

* Ibadat puasa mengajar kita menyatupadukan unsur-unsur dunia dan akhirat. Berbuka puasa haruslah disegerakan dengan minuman dan makanan yang sesuai dengan etika agama dan kehendak fizikal kita. Berbuka dengan buah tamar atau air yang manis merupakan pembukaan yang baik untuk perut yang telah lama kosong.

Bersembahyang terawih setiap malam dengan jumlah rakaat yang tertentu amat baik untuk sistem fizikal kita sendiri, walau pun hal ini bukan merupakan niat sembahyang tersebut. Pendeknya dalam menjalankan apa sahaja aktiviti kita, maka aktiviti itu hendaklah disepadukan dengan tuntutan syariat, akhlak dan nilai-nilai agama.

Krisis ekonomi dan kejatuhan nilai wang merupakan realiti yang harus diterima dengan tabah. Sebagai orang yang beriman, tentulah krisis ini diterima dengan sabar sebagai satu peringatan dan dugaan Tuhan. Tetapi di samping menerimanya sebagai takdir dan suratan, maka kita harus berusaha dan berikhtiar untuk mengatasinya.

Maka hal inilah yang menjadi satu sifat istimewa orang beriman iaitu berikhtiar di samping berdoa, bekerja di samping bertawakal, dan sentiasa bersifat positif serta mempunyai visi yang jauh.

Ketika kita di sini menerima cabaran krisis ekonomi, saudara-saudara kita di negara lain menghadapi berbagai-bagai bencana yang melibatkan harta benda dan nyawa manusia. Orang-orang Palestin tidak habis-habis dihimpit derita, rumah tangga dan tanah tumpah darah serta harta benda malah nyawa mereka sendiri diancam, dirampas dan dicerobohi tanpa berhenti.

Orang-orang Algeria dihantui pembunuhan kejam ke atas ribuan nyawa secara misteri tanpa diketahui sebab musababnya. Pembunuhan beramai-ramai, termasuk kanak-kanak yang masih kecil dan orang-orang yang tidak berdosa, bermula secara mengejut bersama-sama ketibaan bulan Ramadan, bulan mulia dan berkat.

Pencemaran bulan suci dengan lumuran darah manusia tanpa berdosa itu pula sayangnya disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dengan hanya menyepi seribu bahasa. Tidak kedengaran atau kelihatan sebarang rasa prihatin dan marah di kalangan masyarakat Islam yang lain, seolah-olah apa yang berlaku adalah bencana yang tidak seharusnya diberikan perhatian oleh orang lain.

Sebaliknya, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) pula yang merasa berkewajipan atas nama peri kemanusiaan dan hak asasi manusia untuk mengambil tahu dan cuba mencari jalan menyelesaikan teka-teki malang yang berlaku sesama umat Islam, di kalangan saudara-saudara Islam sendiri.

Sikap pasif dan negatif ini, termasuk dari organisasi rasmi negara-negara Islam sendiri, juga sikap menyepi diri dari negara-negara Islam yang berjiran dan sama keturunan dengan negara Algeria, sesungguhnya amat mendukacitakan. Hal ini juga sememangnya amat memalukan keseluruhan negara dan umat Islam sendiri yang mengetahui dan sering menonjolkan konsep persaudaraan Islam.

''ibarat sebuah bangunan yang batu batanya saling pegang memegang, seperti jasad yang satu yang apabila satu anggotanya sakit maka seluruh badan akan turut merasa sakit serta mengalami demam tidak dapat tidur malam.''

Orang akan bertanya, apakah konsep itu hanya merupakan slogan kosong yang tidak diamalkan? Atau hanya digunakan pada ketika-ketika yang tertentu dan untuk kepentingan-kepentingan yang tertentu sahaja.

Oleh itu sempena Hari Raya yang mulia ini, orang-orang Islam sendiri haruslah menjalankan muhasabah, menghitung diri, di mana salah dan longgarnya kehidupan mereka, dan apakah kesalahan itu telah dilakukan kepada Tuhan atau sesama manusia, kemudian berkat bulan Ramadan dan hari raya yang bahagia bersama-samalah kita semuanya memperbaiki diri dan menyusun azam dan agenda baru untuk hari-hari muka kita. Biarlah Hari Raya merupakan titik tolak baru masyarakat Islam menjalankan muhasabah bagi memperbaiki diri sendiri.

No comments: