Wednesday, July 18, 2007

Hijrah dan perubahan

HARI ini telah empat hari kita memasuki tahun baru Hijrah 1419. Bagi orang Islam, saya rasa amat wajar sekali sekiranya ketibaan tahun baru hijrah dapat dijadikan satu titik permulaan bagi satu fasa hidup, azam baru atau agenda terhadap diri sendiri, keluarga atau masyarakat.

Saya hanya ingin mencadangkan satu perkara sahaja kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sedang bersekolah iaitu tentang masa yang diambil oleh anak-anak masing-masing bagi menonton televisyen (TV).

Saya pernah melihat beberapa kajian yang dilakukan tentang impak TV dan kesan negatif, positifnya kepada masyarakat umum khususnya kanak-kanak. Tetapi saya tidak tahu berapa banyakkah pula kajian yang pernah dilakukan tentang jumlah masa yang dihabiskan oleh kanak-kanak di depan TV setiap hari, setiap minggu dan seterusnya setiap bulan dan tahun sehingga itu dapatlah dikira purata umur kanak-kanak yang dihabiskan untuk menonton TV, iaitu sama ada TV kerajaan, swasta, kabel, satelit, atau menonton video melalui mesin VCR atau bermain dengan computer game.

Oleh itu saya rasa bahawa langkah pertama yang harus mendapat perhatian serius kita sekalian ialah memastikan berapa banyak masa yang dihabiskan oleh kanak-kanak untuk menonton TV atau yang berkaitan dengannya. Kita semua tahu bahawa ''masa itu emas'', ''masa itu seperti mata pedang, sekiranya anda tidak memotongnya, maka ia akan memotong anda.'' Malah al-Quran mengemukakan kepentingan masa dengan sumpah ''demi masa'', ''demi waktu duha'', ''demi malam'' dan sebagainya. Oleh itu masa yang kita habiskan itu amat penting diperhitungkan supaya dapat diketahui terlebih dulu berapa banyak umur kita dihabiskan dalam menjalankan sesuatu aktiviti dan dalam konteks ini berapa banyakkah masa yang dihabiskan menghadap peti TV itu.

Kalau dapat dipastikan purata masa itu dengan kadar yang tertentu, maka persoalan kedua yang harus dibicarakan pula ialah dalam jumlah masa yang dihabiskan di depan TV itu berapa peratuskah yang dapat dimanfaatkan seperti mendapatkan elemen-elemen pendidikan yang berguna, atau maklumat yang membina. Atau banyak manakah masa yang dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan hiburan yang melulu, yang banyak meninggalkan kesan buruk kepada pemikiran dan minda kanak-kanak itu.

Saya menyebut hal ini, kerana sebagai satu sebaran teknologi baru, TV seharusnya dapat berfungsi sebagai hasil teknologi maklumat yang dapat memberikan tiga unsur kepada masyarakat iaitu sebagai alat:

* Pendidikan.

* Maklumat.

* Hiburan yang sihat.

Satu persoalan yang timbul, apakah TV kita di Malaysia menyedari peranan ini dan dapat mengemukakan program-program secara seimbang bagi ketiga-tiga unsur yang tersebut di atas.

Saya tidak fikir TV kita benar-benar menyedari hal ini dan benar-benar dapat menyediakan program yang seimbang dan sepadu bagi ketiga-tiga unsur tersebut kerana mentaliti kita masih cenderung kepada hiburan, dan masih melihat TV sebagai alat hiburan semata-mata.

Rakyat di negara maju pun beranggapan demikian, dan realitinya pun memang demikian. Di Amerika Syarikat satu kajian menunjukkan bahawa 54 peratus kanak-kanak mempunyai peti TV di dalam bilik tidur mereka sendiri dan ketika mereka tamat sekolah elementary telah menonton lebih daripada 8,000 pembunuhan dalam TV.

Satu kumpulan ibu bapa yang prihatin dengan hal ini telah berusaha menubuhkan sebuah organisasi kira-kira tiga tahun yang lalu, yang diberi nama TV-Free America (TVFA), yang bukan bertujuan untuk mencampakkan peti TV ke dalam laut, tetapi untuk menolong para ibu bapa memfokuskan perhatian mereka tentang begitu banyaknya masa yang dihabiskan oleh anak-anak mereka di hadapan peti TV.

Baru-baru ini kumpulan Parent Soup telah berganding bahu dengan TVFA melalui program mereka sendiri yang dikenali dengan nama Turn-off Your TV (Tutup TV anda) dan melancarkan acara tahunan mereka TV-Turnoff, Week (Minggu Tutup TV) yang dijalankan pada minggu lalu iaitu mulai 22 hingga 28 April 1998 dengan slogan ''Tutup TV anda untuk seluruh minggu ini, dan buka kehidupan anda yang lain untuknya'' (Turn-off your TV for the entire week and ''turn on'' the rest of your life).

Kate Power dalam tulisannya It's 9 am. Do you know what your kids are watching? (Pukul 9 pagi. Tahukah anda apa yang sedang ditontoni anak anda?), mengemukakan beberapa fakta dan bahan yang ditayangkan dalam 45 saluran TV di Amerika. Beliau mengatakan bahawa untuk menyifatkan buruk baiknya program TV maka samalah halnya dengan cerita gajah dan orang buta, masing-masing mempunyai gambaran sendiri tentang bentuk rupa gajah yang dirabanya.

Bagaimanapun beliau menekankan bahawa pada masa kini terlalu banyak masa kanak-kanak terbuang di hadapan TV tanpa manfaat yang sewajarnya.

TVFA pula mengemukakan 100 aktiviti gantian untuk dimanfaatkan oleh ibu bapa dan anak-anak mereka daripada menonton TV iaitu mulai dari aktiviti luar rumah seperti bersukan, bertanam, mencuci laman, mengecat pagar sehingga kepada aktiviti dalam rumah seperti belajar memasak, menyusun bunga, membaca untuk diri sendiri atau untuk orang lain, belajar menulis cerpen atau artikel ringan dan seterusnya merancang aktiviti lawatan ke taman, muzium, berkelah, berkunjung ke kawasan pedalaman, belajar menggunakan kamera dan seratus aktiviti lain yang boleh dilakukan dengan sebaik-baiknya untuk dimanfaatkan jauh peti TV. Seratus aktiviti yang dicadangkan itu merupakan aktiviti alternatif daripada memerap di hadapan peti TV.

Saya rasa, masanya sudah sampai untuk kita semua, terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang bersekolah, agar dapatlah kita berganding bahu dan bersatu tenaga menyusun program bersama dalam membicarakan isu ini.

Kita harus membicarakan isu-isu ini berkaitan dengan persoalan-persoalan berikut:

* Mencari jawapan bagi persoalan kadar masa yang dihabiskan anak-anak di depan TV.

* Meneliti dan mengehadkan program TV yang wajar untuk anak-anak.

* Merancang aktiviti kejiranan dan kemasyarakatan secara bersama untuk mengisi masa anak-anak dengan pengisian yang berkualiti.

Sekurang-kurangnya azam tahun baru hijrah kali ini bolehlah difokuskan oleh ibu bapa kepada persoalan ini secara khusus daripada hanya mengeluh dan menunggu, menyalahkan orang lain dan menuduh pihak itu dan pihak ini.

Malah sekurang-kurangnya ibu bapa orang Amerika yang prihatin telah menyedari persoalan genting ini dan membuat sesuatu untuk memperbaikinya. Kenapa kita yang beragama ini tidak dapat pula melakukannya?

Kalau ibu bapa di Amerika boleh menubuhkan persatuan dan membincangkan hal ini bersama serta mencari penyelesaian-penyelesaian yang termasuk mengadakan hubungan seluruh dunia melalui Internet dan surat elektronik, kenapakah kita tidak boleh?

No comments: