Wednesday, July 18, 2007

Internet lawan dakwah

SAYA menerima beberapa pucuk surat e-mail yang memberti tahu tentang wujudnya beberapa kempen dalam Internet memburuk-burukkan Islam, menghina dan mempersenda-sendakan Islam.

Surat-surat itu melahirkan rasa bimbang bahawa dalam zaman informasi, komputer dan teknologi maklumat ini, kempen-kempen berunsur anti-Islam ditakuti akan mengelirukan pemikiran dan persepsi generasi muda Islam tentang kebenaran agamanya. Lebih-lebih lagi dalam jangka panjang, mungkin kempen-kempen seperti itu akan mempengaruhi pemikiran dan pendirian mereka tentang agama. Malah telah ada pun di antaranya yang mulai mempersoalkan tentang kebenaran agamanya.

Saya juga diberitahu oleh seorang ibu bahawa anak gadis remajanya yang mengikuti kelas tuisyen telah dipengaruhi oleh kalangan yang tertentu dengan mengacau bilaukan persepsi dan pemikirannya tentang agama, sehingga tidak lama kemudian anaknya menjadi antikeluarga, antiibu bapa dan tidak mahu lagi bermesra dengan keluarga, sehingga akhirnya melarikan diri ke luar negara. Bagi si ibu ia sudah kehilangan anaknya, dia mendapat mengesan bahawa anaknya juga telah meninggalkan agama Islam.

Dari kedua-dua kes yang disebutkan di atas, di antara beberapa banyak kes yang lain, ternyata bahawa pegangan agama di kalangan sebahagian generasi muda kita sekarang ini amatlah rapuh dan longgar, terlalu mudah dipatah-patahkan dan sudah dapat ditumbangkan dengan sedikit sahaja tiupan angin walaupun tiupan angin itu tidak sekuat ribut atau taufan yang besar.

Persoalannya sekarang yang harus difikirkan dan diselesaikan oleh orang Islam sendiri ialah kenapakah kempen-kempen yang dijalankan orang untuk menyebar idea antiagama itu amat mudah diterima oleh sesetengah kalangan generasi muda? Apakah kaedahnya?

Bagaimanakah pendekatan yang diambilnya? Dan beberapa persoalan strategik lainnya yang harus dikenal pasti, dihadami dan dianalisis dengan semasak-masaknya untuk mencari jawapan dan penyelesaiannya.

Pada pandangan mata kasar, ternyata bahawa pada masa kini, dakwah dan seruan untuk berpegang kepada agama sedang berada di tengah-tengah gelanggang masyarakat kita dengan jentera dakwah yang sistematik, teratur dan tersusun dengan baik. Pengajaran agama diajar secara formal di pusat-pusat pengajian rasmi di segala peringkat.

Penyebaran agama dilakukan dengan giat oleh agensi-agensi agama kerajaan dan swasta, pejabat-pejabat agama, media elektronik, media cetak dan sebagainya selain daripada program-program dakwah anjuran badan-badan bukan kerajaan, persatuan wanita, belia dan sebagainya.

Masjid-masjid dan surau menyediakan tadika Islam, kelas agama, fardu ain dan kelas al-Quran, malah mengadakan kuliah Subuh serta Maghrib di samping program-program ceramah yang diadakan secara besar-besaran dari semasa ke semasa terutamanya ketika menyambut hari-hari kebesaran agama.

Saya mendapat tahu, di samping agensi-agensi agama dan badan-badan tertentu, maka terdapat juga orang-orang perseorangan, tuan-tuan rumah secara individu, menganjurkan ceramah-ceramah agama di rumah kediaman mereka untuk suri-suri rumah dan jiran tetangga yang berminat dengan menjemput guru-guru agama bagi menyampaikan pengajaran dalam program tetap seminggu atau dua minggu sekali. Pendeknya, dilihat daripada aktiviti rasmi dan tidak rasmi aktiviti kumpulan dan individu dengan jentera dakwah yang agak komprehensif dan melibatkan tenaga pendakwah yang besar, maka masyarakat Islam di Malaysia nampaknya mempunyai persiapan yang cukup besar untuk menjadi masyarakat yang berilmu, bertakwa dan beriman.

Persoalannya sekarang, mengapakah dalam kegiatan pesat penyebaran agama, penanaman pengetahuan agama secara mendalam, dan pembinaan iman yang begitu teguh di kalangan generasi muda dan tua, tiba-tiba dengan tiupan angin yang tidak begitu kencang, dapat mematahkan pokok iman yang kelihatan kuat dan kukuh, malah ada kalanya pokok tercabut dan terbongkar sama sekali.

Kisah seorang gadis yang dikatakan murtad tidak lama dulu juga menimbulkan tanda tanya yang besar jika difikirkan bahawa gadis itu mempunyai asas pendidikan agama yang kuat, berpakaian melambangkan komitmen agama dan berkeperibadian Islam. Tiba-tiba dalam keadaan begitu, ia dikatakan telah mengisytiharkan dirinya keluar dari Islam. Hal ini tentu ada sebab tertentu yang amat sukar diteka dan diduga. Sekiranya perbuatan murtad dilakukan oleh seorang yang memang tidak punya kekuatan agama, atau mempunyai rekod yang terlalu buruk dalam penghayatan agama, maka hal itu tentulah tidak mengejutkan kita jika dibanding dengan orang yang punyai rekod dan latar belakang agama yang kuat, tiba-tiba mengambil tindakan yang begitu radikal tentang akidahnya.

Persoalan ini adalah satu persoalan amat besar. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Islam keseluruhannya untuk berusaha mengkaji masalah ini dan mendapatkan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

Bagaimanapun persoalan yang ditimbulkan tentang penggunaan teknologi maklumat untuk mengelirukan pemikiran generasi muda Islam itulah yang seharusnya dibicarakan sebagai agenda yang paling urgent untuk dikaji kesan buruknya. Kemajuan teknologi komputer, komunikasi dan teknologi maklumat merupakan sesuatu yang amat diminati dan menarik perhatian generasi muda. Kalangan yang ingin mencipta kejutan dan menghadirkan kekeliruan tentang apa saja persepsi, termasuk persepsi dan isu-isu agama, akan mengisikan segalanya di dalam komputer untuk diikuti oleh para pencipta, terutama anak-anak muda.

Kebijaksanaan pengisian komputer yang diperkuatkan dengan alasan yang berbentuk logik dan ilmiah tentulah sedikit sebanyak akan mempengaruhi mereka lalu membuat mereka berfikir semula apakah segala sesuatu yang mereka pelajari dan dengar selama ini tentang agama mereka itu benar atau tidak. Kalau maklumat palsu tentang agama, dan pentafsiran negatif agama yang dimuatkan di dalam saluran-saluran maklumat komputer itu berjaya mewujudkan semacam kekeliruan pemikiran tentang agama di kalangan generasi muda, maka hal itu sebenarnya sudah merupakan kejayaan besar bagi kalangan yang berniat buruk terhadap kesucian agama Islam. Justeru, kita wajar memikir dan segera mengambil tindakan mengatasinya. Tindakannya tentulah tidak hanya menyalahkan orang lain.

Kita sendiri haruslah mengambil kesempatan untuk menggunakan saluran yang sama iaitu komputer untuk mengisikannya dengan fakta-fakta yang sahih tentang agama dengan pendekatan yang berasaskan ilmu pengetahuan Islam yang betul dan menarik.

Kita memerlukan lebih banyak homepage Islam dalam Internet dengan pengisian soal jawab yang sering ditimbulkan tentang agama (FAQ), perbualan Internet (IRC), kumpulan berita (newsgroup) dan sebagainya.

Kita memerlukan kumpulan-kumpulan pakar dan sarjana Islam yang dapat meneliti fakta-fakta salah tentang Islam yang disalurkan di dalam Internet untuk dikaji dan diberi penjelasan di dalam saluran yang sama. Para sarjana Islam seharusnya dapat berperanan secara lebih aktif untuk memberi penjelasan tentang Islam kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia melalui surat elektronik (e-mail).

Pendeknya, dalam menghadapi cabaran dan ancaman teknologi maklumat, orang Islam sendiri mestilah dapat bertindak secara proaktif dan penuh bijaksana.

Ibu bapa yang mempunyai komputer dengan Internet dan e-mail harus mengambil berat tentang maklumat yang diikuti oleh anak-anak mereka. Ibu bapa sendiri mestilah peka kepada sesuatu maklumat yang boleh mempengaruhi dan mengelirukan pemikiran anak-anak mereka.

No comments: