Wednesday, October 10, 2007

SAR melampaui isu politik

DARIPADA pertanyaan dan komen yang diberikan terhadap tulisan saya minggu lalu tentang perlunya mengadakan perubahan radikal terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) saya mendapat kesan bahawa ramai orang yang tidak mempunyai maklumat asas mengenai kedudukan sekolah tersebut.

Berpunca dari ketandusan maklumat sebenar mengenai kedudukan SAR inilah yang menyebabkan ramai orang berfikir bahawa isu ini adalah semata-mata merupakan isu politik, dan beranggapan bahawa perubahan yang dicadangkan terhadap sekolah tersebut adalah berpunca dari masalah politik.

Sebenarnya jika isu ini dikaji dengan teliti dari beberapa aspek, terutamanya dari aspek matlamat pendidikan agama dan kebangsaan, maka umum akan dapat mengambil kesimpulan bahawa masalah perubahan yang dicadangkan terhadap sekolah aliran tersebut bukanlah merupakan masalah politik seratus peratus.

Dalam masa yang sama memang diakui bahawa politik kepartian yang sempit, yang membawa kepada perbuatan mempolitikkan SAR, adalah merupakan satu kenyataan yang amat terang dan tidak dapat dinafikan.

Isunya sama seperti yang dilakukan sekarang ini iaitu ketika terdapatnya keghairahan sesetengah kalangan yang berusaha mempolitikkan masjid dan surau, ceramah dan khutbah, maka mereka juga berusaha bersungguh-sungguh mempolitikkan sekolah agama dan jabatan agama, bertujuan untuk mengabui mata orang Islam tentang isu agama, dan mendidik masyarakat Islam sejak dari peringkat tadika lagi agar masyarakat menolak usaha-usaha pihak lain, termasuk Kerajaan Pusat, dalam memartabatkan agama di negara kita.

Saya berasa bahawa tindakan mempolitikkan institusi pendidikan merupakan satu tindakan yang amat serius dan berbahaya kerana pendidikan merupakan satu pelaburan yang amat berharga untuk anak-anak kita pada masa akan datang. Perbuatan mempolitikkan pendidikan anak-anak, akan merosakkan satu dua generasi umat yang akibatnya akan dirasakan oleh umat Islam sendiri dalam jangka pendek dan jangka panjangnya.

Mempolitikkan pendidikan bererti mengasuh anak-anak supaya mempunyai satu pendirian politik yang sempit, membenci institusi pemerintah yang sah, membenci tokoh-tokoh yang tertentu, sedangkan pada umumnya kanak-kanak dan murid-murid sekolah yang tertentu itu tidak memahami isunya yang sebenar, maka mereka hanya akan berfikiran sempit mengikut acuan yang dikemukakan kepada mereka.

Akibatnya, objektif pendidikan agama untuk memberi ilmu pengetahuan yang berguna dan membentuk akhlak para pelajar melalui pendidikan agama itu akan gagal. Para pelajar akan bertambah keliru tentang agama dan konsepnya. Mereka akan kebingungan.

Ketika saya menyertai panel perbincangan di dalam Konvensyen Khidmat Sosial di Institut Sosial Malaysia pada 16 dan 17 Disember yang lalu, satu pertanyaan telah dibangkitkan iaitu masalah ketidakberkesanan pendidikan agama di dalam sekolah untuk membentuk moral dan akhlak para pelajar dalam menghadapi krisis nilai dan aliran permisif di dalam masyarakat sekarang ini.

Persoalannya di manakah kesilapannya pendidikan tersebut sehingga nampaknya akhlak dan moral para pelajar kita semakin merosot seolah-olah mereka tidak pernah menerima pendidikan agama, baik pun secara formal, di sekolah, atau tidak formal, di rumah dan institusi pendidikan yang lain.

Persoalannya, apakah kaedah dan pendekatan mengajar agama itu tidak berkesan dan tidak efisien? Apakah kandungan pendidikan agama tidak diberikan arah tuju yang jelas untuk membentuk moral dan keperibadian pelajar yang baik? Apakah para pengajar dan guru tidak dapat menterjemahkan pengajaran agama secara yang baik ke arah mendidik pelajar menjadi manusia yang berakhlak dan bermoral tinggi?

Semuanya ini merupakan beberapa persoalan yang ditimbulkan, dan tidak dapat diberikan jawapan yang memuaskan, kerana selama ini mungkin tidak banyak kajian yang pernah dilakukan secara saintifik dan ilmiah untuk memecahkan persoalan ini. Masing-masing nampaknya hanya dapat memberikan andaian-andaian secara sepintas lalu sahaja.

Satu hakikat yang seharusnya diakui bahawa pendidikan adalah terlalu banyak bergantung kepada para guru yang berkualiti, maka pendidikan agama juga amat memerlukan para pendidik yang berkualiti dan mampu menghayati pelajaran yang diajarnya untuk dicurahkan kepada para pelajar agar para pelajar pula akan dapat menghayati nilai-nilai baik yang terkandung di dalam ajaran agama kita.

Guru yang berkualiti akan dapat mengambil pendekatan mengajar dan menyampaikan ilmu yang berkesan walaupun kandungan pelajaran agama itu kurang baik, atau kurang mencukupi, tetapi guru yang tidak berkemampuan tentulah tidak akan dapat mengajar dan mendidik dengan berkesan, walaupun kandungan pelajaran amat baik dan lengkap.

Maka di sinilah timbulnya kepincangan pendidikan agama di sekolah sekarang ini, terutamanya apabila pendidikan agama itu dipolitikkan mengikut kehendak guru yang mungkin mempunyai anutan politik kepartian yang sempit dan terlalu ghairah untuk menggunakan platform pengajarannya untuk mempengaruhi para pelajarnya dengan kefahaman sempitnya itu.

Ditimbulkan juga tentang dasar pendidikan kebangsaan yang menjadi falsafah pendidikan negara kita, iaitu yang bertujuan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Sebenarnya dasar inilah juga yang menjadi falsafah pendidikan Islam, iaitu melalui pendidikan akal, roh dan jasmani secara sepadu untuk melahirkan manusia yang berilmu, bertakwa dan berakhlak. Tetapi seperti yang diakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, objektif ini agak sukar dicapai seperti yang tercatat di dalam laporan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan, yang berbunyi begini kementerian terus menghadapi cabaran dalam membangunkan insan, mengimbangkan pembangunan individu antara domain kognitif, efektif dan psikomotor, mengimbangkan potensi individu, dan menyediakan asas untuk pembelajaran sepanjang hayat.

Pada pandangan saya cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Pendidikan dalam hal ini akan dapat diatasi dengan sebaik-baiknya dengan kekuatan yang seharusnya disuntik ke dalam pendidikan agama di institusi pendidikan kita kerana falsafah pendidikan Islam adalah bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dengan sebanyak mungkin kepada para pelajar dan mendidik mereka agar beramal dan menghayati ilmu pengetahuan yang diterima itu di samping melaksanakan dasar pendidikan sepanjang hayat.

Islam sering menekankan tentang ilmu, iman dan amal dalam membentuk manusia yang akan menjadi khalifah untuk mentadbirkan alam ini secara berkesan dan berjaya. Maka pelajar Islam seharusnya merupakan satu golongan pelajar yang berketerampilan di dalam segala bidang ilmu di samping mempunyai keperibadian yang cemerlang di dalam kepimpinan, akal budi dan moral serta akhlaknya yang tinggi.

Persoalannya sekarang bagaimanakah dasar pendidikan kita mempunyai potensi dan masa depan yang baik dalam mencapai dasar dan falsafah pendidikan negara itu? Jawapannya tentulah akan dapat diberikan dengan sebaik-baiknya oleh para pendidik sendiri.

Skop pendidikan

Namun dalam jangka panjangnya, masyarakat haruslah memahami bahawa skop pendidikan Islam itu sebenarnya adalah amat luas dan menyeluruh. Pendidikan Islam tidak semestinya terkongkong di dalam pendidikan fardu ain, ibadat khusus dan sebagainya, yang hanya merangkumi sebahagian sahaja dari konsep dan falsafah pendidikan Islam.

Pada masa kini, pembahagian pendidikan aliran agama dan umum sememangnya dapat dilihat di dalam sekolah aliran kebangsaan. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) umpamanya mengandungi kadar tiga puluh peratus mata pelajaran agama, dan selebihnya mengandungi mata pelajaran umum. Sekolah kebangsaan pula mempunyai lima belas peratus mata pelajaran agama di samping mata pelajaran umum yang lain. Ertinya sekolah anjuran kerajaan telah memperuntukkan kadar peratusan yang agak tinggi bagi mata pelajaran agama di sekolah kebangsaan yang merangkumi sekolah kebangsaan biasa dan sekolah kebangsaan agama.

Di samping SMKA yang telah mencapai bilangan 53 buah di seluruh negara pada masa ini, terdapat lebih dari 400 buah sekolah kebangsaan yang mempunyai aliran agama dengan kadar yang sama dengan SMKA, tetapi sekolah-sekolah ini tidak mempunyai kemudahan asrama dan sebagainya seperti SMKA.

Maka berdasarkan perangkaan ini, ternyata bahawa sekolah aliran kebangsaan telah menyediakan mata pelajaran agama asas yang mencukupi bagi seorang pelajar Islam untuk mempelajari dan mengamalkan ajaran agamanya dalam kehidupannya. Malah kita percaya sekiranya pendidikan agama itu dilaksanakan dengan baik di dalam kaedah pengajarannya, pendekatan guru dan penyediaan buku teks yang baik, maka kesannya kepada pembentukan moral dan akhlak serta jati diri dan ketahanan diri para pelajar akan menjadi amat cemerlang.

Dari satu sudut yang lain, menurut maklumat yang diberikan, para lepasan SMKA mempunyai potensi yang baik untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di dalam berbagai-bagai bidang pengkhususan.

Mereka dapat meneruskan pengajian mereka ke bidang profesional, termasuk sains dan teknologi, ekonomi dan pengurusan, perundangan dan perubatan, dan lain-lain kerana semasa di SMKA telah disediakan sebagai pelajar yang berkualiti dengan segala kemudahan makmal dan guru-guru yang terlatih untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi di dalam semua bidang dan disiplin pengajian.

Mengikut maklumat yang tidak rasmi, hanya kira-kira sepuluh peratus sahaja dari mereka yang melanjutkan pelajaran dalam jurusan agama.

Seperti yang telah saya jelaskan di dalam tulisan saya minggu lalu, bahawa perangkaan dan hakikat ini sebenarnya tidak banyak yang diketahui oleh umum, khususnya para ibu bapa sendiri yang ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran agama.

Kerana kekurangan maklumat, maka ramai para ibu bapa yang menganggap bahawa sekolah aliran kebangsaan tidak menawarkan pelajaran agama yang mencukupi untuk mendidik anak-anak mereka menjadi manusia yang beragama dan yang bertakwa kepada Allah subhanahu wa taala.

Sedangkan realitinya telah banyak para lepasan sekolah aliran kebangsaan yang kini menjadi ahli professional yang telah membentuk satu angkatan sarjana Islam yang berjiwa Islam, bermoral dan beretika serta menghayati nilai akhlak Islam. Berakhlak dan beretika Islam dalam menjalankan amanah dan tugas masing-masing di dalam dunia ini tidak semestinya hanya terbatas kepada para lepasan jurusan agama sahaja.

Oleh itu saya beranggapan, bahawa usaha yang sedang giat dilakukan oleh kerajaan sekarang untuk menyelamatkan sekolah agama rakyat, merupakan satu usaha untuk melaksanakan tanggungjawab kerajaan kepada warganegaranya, khususnya anak-anak Islam sendiri, bagi membawa mereka ke dalam arus perdana, iaitu untuk mendidik mereka menjadi warganegara yang berilmu pengetahuan dan mempunyai potensi yang cemerlang di dalam bidang kerjaya, dan sekali gus melahirkan manusia yang beriman, berakhlak dan berketerampilan sebagai umat yang kuat, sesuai dengan falsafah pendidikan Islam itu sendiri.

Kerana itulah telah saya jelaskan di atas, bahawa isu sekolah agama rakyat (SAR) tidaklah seharusnya dilihat dari sudut politik semata-mata, malahan ia merupakan isu akademik dan ilmu pengetahuan yang amat tinggi nilainya, yang seharusnya diselesaikan dengan sebaik-baiknya dan disokong oleh semua pihak yang cintakan ilmu dan agama. Kalau masjid dan surau, ceramah dan kuliah dan segala-galanya di dalam masyarakat kita telah amat kalut dipolitikkan, maka isu pendidikan agama janganlah dipolitikkan. Mempolitikkan pendidikan bererti menggadai masa depan umat kita sendiri.

No comments: