Wednesday, October 10, 2007

Laksanakan sebat di khalayak ramai hanya jika dijamin berkesan - Hukum pesalah cara kampung

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
PEROGOL kejam yang mengorbankan Nurul Huda telah dihukum penjara 20 tahun, dan sebat 24 kali. Hakim yang menjatuhkan hukuman ini telah mengambil kira perasaan umum tentang betapa seriusnya jenayah ini, sehingga beliau menjatuhkan hukuman maksimum. Hukuman ini bagaimanapun tidak meredakan kemarahan kaum keluarga mangsa dan rakyat Malaysia umumnya, sama juga seperti kejadian rogol dan bunuh yang berlaku ke atas Haserawati di Sabah. Tragedi ini tetap diratapi oleh semua warganegara kita.

Maka dalam keadaan ini, saya sering bermimpi dan berharap agar roda sejarah ketika saya berumur sepuluh tahun akan beredar kembali semula ke zaman ini supaya Nurul Huda dan Haserawati tidak menjadi mangsa rogol dan bunuh oleh haiwan-haiwan buas yang berupa manusia itu.

Saya berangan-angan demikian, kerana pada zaman itu, kira-kira lima dekad yang lalu, masyarakat kampung kami adalah merupakan sebuah masyarakat yang terdiri dari satu keluarga besar. Semua orang kampung mengenali satu sama lain, dan bukan hanya sekadar mengenali nama-nama sahaja, malah nama dan segala gelaran yang dihubungkan dengan nama seseorang itu dengan latar belakang sejarahnya.

Melihat sahaja kelibat seorang kanak-kanak, maka orang kampung telah dapat mengenali siapakah nama kanak-kanak itu, anak atau cucu siapa, tinggal di matahari naik atau matahari jatuh. Demikian juga jika terdapat sebuah wajah asing yang melintasi masuk ke kampung, maka orang kampung mengetahui bahawa dia adalah orang luar, dan segera akan timbul rasa ingin tahu mengapakah gerangannya dia masuk ke kampung itu.

Tetapi impian dan harapan saya untuk melihat sejarah lama itu berulang, tentulah hanya merupakan angan-angan kosong yang tidak mungkin menjadi kenyataan, kerana roda sejarah itu telah amat lama beredar meninggalkan kita. Dunia hari ini tidaklah seperti dunia lima enam puluh tahun yang lalu, sebaliknya dunia sekarang telah banyak berubah. Kadang-kadang kita tidak lagi mengenali siapakah yang tinggal di sebelah rumah kita, anak siapa atau cucu siapakah yang kita lihat berjalan di jalan hadapan rumah kita, siapakah yang menerima kemalangan di dalam kebakaran atau banjir yang melanda kawasan perumahan kita, dan lebih dari itu. Kita tidak lagi dapat mengenali manusia di sekeliling kita, siapakah di antaranya yang berhati haiwan, dan siapakah yang berhati manusia. Nurul Huda dan Haserawati mungkin melihat insan yang nampaknya seperti manusia berwajah syurga, tetapi rupa-rupanya manusia itu menyembunyikan wajah neraka yang tidak kelihatan, dan kemudiannya bertindak seperti seekor haiwan buas ke atas mereka, satu keadaan yang tidak wujud di kampung pada masa dulu.

Sejarah pahit itu telah berlalu, dan amat pahit sekali untuk ditelan oleh ibu bapa dan kaum keluarga mangsa serta orang lain yang masih punya perasaan dan pemikiran sebagai bani Adam ciptaan Allah. Kini Nurul Huda dan Haserawati yang masih kecil dan tidak berdosa itu tiba-tiba sahaja hilang dari dunia ini, maka yang tinggal sekarang ialah pertanyaan-pertanyaan yang membingungkan. Di manakah lagi agaknya tempat yang selamat di bumi kita ini? Siapakah pula yang akan menjadi mangsa kejam itu seterusnya ketika kita terus melangkah maju ke alam global dan moden ini?

Dalam kemelut dan kebingungan ini, ada orang yang menyesali pembangunan pesat yang dianggapnya sebagai penyebab kejatuhan moral dan akhlak manusia pada hari ini. Selain dari itu, terdapat suara lain yang mengatakan bahawa institusi keluarga telah runtuh, maka kerana itulah akhlak masyarakat juga turut runtuh. Tidak kurang pula yang menyalahkan institusi pendidikan sebagai faktor yang menjadikan manusia hari ini melakukan tindakan di luar batas-batas kesusilaan dan kesopanan. Malah terdapat pula kalangan yang menyatakan bahawa orang zaman ini telah terhakis komitmen agama dan etikanya, sebab itulah mereka menjadi orang yang rosak moral dan amalannya.

Namun apa pun andaian yang dibuat dalam hal ini, sebenarnya jawapan kepada persoalan yang sebesar ini bukanlah dapat diberikan dengan sebegitu mudah pula. Sikap kita yang amat gemar memberikan jawapan yang berbentuk simplistik kepada beberapa persoalan yang susah itu sering kita lakukan. Maka dalam kes Nurul Huda dan Haserawati ini pun, kita sering mengambil kesimpulan yang salah dan tafsiran yang amat mendatar serta jalan singkat, tanpa menumpukan kepada kejadian dan sebab-musababnya yang sebenar.

Jenayah merupakan satu kejadian yang agak kompleks, dan sama tuanya dengan sejarah manusia ini sendiri. Masyarakat kampung yang saya kisahkan di atas dengan segala suasana perdamaian dan kerukunannya, tanpa banyak pembangunan seperti sekarang ini, terdapat juga kejadian yang menggemparkan seluruh orang kampung, iaitu ketika berlaku kecurian ayam itik, atau lembu kambing kepunyaan satu keluarga kampung. Ada kalanya, getah keping yang disidai di bawah rumah, hilang lesap pada waktu malam dilarikan pencuri. Tetapi orang kampung pun mempunyai caranya yang bijak, sehingga tertangkap juga si pencuri, dan mereka dihukum sebat di pekarangan surau. Orang kampung berkumpul setelah mendengar gendang raya dipalu pada waktu pagi, dengan itu mereka mendapat peluang untuk menyaksikan wajah si pencuri, dan melihat penghulu mengenakan hukuman di depan mata mereka sendiri. Si pencuri ini akhirnya menghilangkan diri, dan kampung kembali aman.

Tetapi kini masyarakat kita menjadi lebih canggih, segala sistem perundangan dan perbicaraan kes-kes jenayah telah berkembang pesat, maka keadaannya tidaklah semudah seperti apa yang berlaku di kampung pada zaman dulu itu. Menghukum penjenayah di khalayak ramai mungkin mendatangkan kebaikan untuk mencegah orang lain dari melakukan kesalahan yang serupa. Tetapi kesan yang diharap-harapkan ini mungkin hanya akan dapat terlaksana bagi orang-orang yang sihat minda dan jiwa raganya. Bagi orang-orang yang sememangnya jahat dan sakit jiwanya, maka mungkin hukuman ini tidak akan memberi sebarang kesan, kerana ketika melakukan perbuatan jenayahnya itu, mereka tidak sedar dan tidak lagi siuman sehingga akan memikirkan akibat yang akan diterimanya.

Kalau kita mengambil kes Nurul Huda dan Haserawati sebagai contohnya, maka kita dapati bahawa orang-orang yang melakukan perbuatan kejam ke atas mangsa berdua ini adalah dalam keadaan yang tidak sedar dan sihat pemikirannya, besar kemungkinan ketika melakukan jenayah ini, mereka berada dalam pengaruh liar yang merasuk minda dan perasaan mereka. Mereka bukan lagi manusia yang sihat dan normal. Orang kampung zaman silam rasanya amat sihat badan dan jiwa raga serta akal fikirannya, kerana pada ketika itu orang kampung tidak punya radio, TV, apa lagi VCD dan Internet. Mereka tidak pernah melihat atau merasai sebarang serbuk atau bahan yang mengkhayalkan yang dibawa masuk dari luar, oleh itu mereka adalah manusia sihat dan normal. Orang kampung tidak pernah melihat filem seks, lapan belas tahun ke atas, MTV dan sebagainya. Ada tak ada pun sekali-sekala Jabatan Penerangan masuk ke kampung menayangkan gambar-gambar lawatan Tunku, atau dokumentari tentang lembu kerbau, tanam semula dan sebagainya. Kerana itulah pencuri getah yang dihukum di hadapan orang kampung pada masa itu berasa malu, lalu terus menghilangkan diri, dan tidak ada pula orang lain yang mahu melakukan jenayah yang serupa. Apakah hasil yang sama juga akan berlaku pada masa kini, iaitu di dalam masyarakat yang serba sakit ini, sekiranya hukuman sebat dilakukan di hadapan khalayak ramai?

Persoalan ini haruslah dicarikan jawapannya yang tepat, kerana sejarah telah membuktikan bahawa hukuman mati mandatori terhadap pengedar dadah seolah-olah tidak ditakuti oleh orang-orang yang jiwanya telah dipengaruhi begitu hebat dengan pengaruh kebendaan dan wang yang banyak, maka mereka memperjudikan nyawa mereka ketika melakukan jenayah ini demi kerana wang dan kekayaan yang mudah dan cepat. Mereka dengan itu tidaklah merupakan manusia yang normal dan yang sihat hati nuraninya, sebaliknya mereka merupakan manusia yang dipengaruhi oleh nafsu syaitan yang sering dilabelkan di dalam al-Quran sebagai makhluk yang membawa kepada kesesatan dan kebinasaan.

Maka dalam kes terbaru tentang rogol dan bunuh ini, amatlah wajar diberikan perhatian kepada pandangan yang mencadangkan supaya dikaji secara menyeluruh tentang dorongan yang menjadikan manusia melakukan jenayah berat seperti ini sebelum diambil sebarang kesimpulan dan tindakan yang salah. Sekiranya betul hukuman sebat di khalayak ramai itu didapati berkesan, dan benar-benar akan dapat mengurangkan jenayah tersebut, maka ayuh sediakanlah rotan untuk merotan penjenayah yang kejam itu di sebuah stadium bola sepak yang besar, dan disiarkan pula secara langsung oleh media TV, seperti yang diminta oleh sesetengah anggota masyarakat kita. Cuma yang menjadi persoalan, apakah langkah ini wajar dan berkesan berdasarkan kajian yang sepatutnya telah kita jalankan dengan penuh teliti, dan bukan hanya berdasarkan andaian dan ramalan semata-mata.

Hal ini sekali lagi mengingatkan saya tentang kisah kampung empat lima dekad yang lalu. Di kampung terdapat tiga orang atasan yang amat dihormati oleh semua anggota kampung, iaitu penghulu yang menjadi wakil raja, guru besar yang mewakili institusi pendidikan formal dan tok imam yang menjadi lambang agama. Mereka bebas menegur, menasihat atau memarahi anak-anak kampung yang berkelakuan ganjil atau janggal, yang menyalahi undang-undang, tradisi dan budaya, atau ajaran agama. Ibu bapa akan berterima kasih kepada mereka kerana menegur atau menasihati anak mereka.

Guru besar pula semasa di sekolah akan berperanan sebagai pendidik, bukan hanya untuk mengajar ilmu pengetahuan, tetapi juga untuk mengajar murid-murid berkelakuan baik, menghormati orang tua dan sebagainya. Maka anak-anak kampung dibesarkan di dalam satu peraturan dan budaya yang sihat, berakhlak dan berdisiplin. Hal inilah yang akhirnya menjadi sebati dengan darah dagingnya walau di mana sekalipun mereka tercampak. Tok imam pula akan mengajar agama kerana agama dan kerana Allah. Percakapan dan perbuatannya menjadi contoh yang unggul sehingga ramai orang yang ingin mencium tangannya. Tetapi dia amat tawaduk.

Pendeknya, sekurang-kurangnya tiga institusi dalam masyarakat kita di samping institusi keluarga, mestilah bergabung tenaga untuk mengenal pasti masalah krisis moral pada ketika ini, iaitu institusi pemerintah, pendidikan dan institusi agama jika hendak diikut contoh terhad di kampung zaman silam. Tetapi dalam dunia serba maju dan canggih ini, tentulah banyak institusi lain yang dapat dilibatkan untuk mencari jalan menyelesaikan masalah yang berat ini.

Kesimpulannya, banyak persoalan berat yang perlu dicarikan jawapannya dalam kes rogol dan bunuh ini, termasuk cara menghukum penjenayahnya, dan jawapannya pula bukanlah dapat diberikan secara mudah seperti membilang satu dua tiga. Pendekatannya mestilah holistik, dan penganalisiannya mestilah berdasarkan ilmu pengetahuan yang melibatkan banyak kalangan. Mungkin penyelesaian kampung zaman dulu dapat diambil kira, tetapi tentulah seharusnya ditambah dengan mekanisme dan mentaliti moden zaman kini yang lebih canggih.

Bagaimanapun, saya percaya isu yang kita bicarakan ini akan terus-menerus dibincangkan tanpa berhenti, kerana isu baru tentang hukuman telah dibangkitkan pula, termasuk hukuman kasi bagi perogol yang dicadangkan baru-baru ini.

No comments: