Wednesday, October 10, 2007

Melahirkan masyarakat beradab

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
KECENDERUNGAN pihak-pihak tertentu untuk memperkenalkan undang-undang baru dalam menghadapi berbagai-bagai gejala negatif dan menyeleweng dalam masyarakat kita harus dialu-alukan dan disokong sepenuhnya. Langkah ini demi menjayakan segala usaha kita bagi meningkatkan penghayatan nilai-nilai moral dan kerohanian dalam masyarakat kita pada zaman yang serba gawat ini.

Bagaimanapun saya percaya kita semua tetap menganggap bahawa undang-undang hanyalah merupakan sebahagian daripada proses mendidik masyarakat dari segala golongan untuk menjadi manusia yang baik dan berperadaban. Penumpuan kepada bidang pendidikan dalam bentuk formal dan tidak formal untuk melahirkan manusia yang berilmu, bermoral dan sihat fizikal, kerohanian dan kejiwaannya, adalah merupakan satu usaha yang seharusnya dilakukan dalam berbagai-bagai cara, termasuk penguatkuasaan undang-undang.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa baginda dididik oleh Allah subhanahu wa taala, maka Allah telah mendidiknya dengan amat cemerlang. Dengan pendidikan dari Allah itulah baginda lahir sebagai manusia terunggul dalam semua bidang kehidupannya, sebagai individu atau ketua, sebagai suami, bapa, pemimpin dan kedudukan lain lagi.

Allah berfirman: Bahawa Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu seperti yang dituduh oleh kaum musyrikin). Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikan (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati. Bukankah Ia mendapati engkau yatim piatu, lalu Ia memberikan perlindungan? Dan didapatinya engkau mencari-cari (jalan yang benar) lalu Ia memberikan hidayah dan petunjuk (dengan wahyu - al-Quran?) Dan didapatinya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? Oleh itu, ada pun anak yatim, maka janganlah engkau berlaku kasar kepadanya. Ada pun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik. Ada pun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut sebagai bersyukur kepada-Nya.

Surah ad-Duha, ayat 1 hingga 11 penjelasan al-Quran yang agak terperinci tentang proses pembangunan peribadi Nabi Muhammad bolehlah dimengertikan sebagai satu proses pendidikan Allah kepada Rasul-Nya yang utama itu. Pendidikan itu bermula dengan meniupkan roh keyakinan kepada baginda tentang segala kepalsuan tuduhan musuhnya. Bukti kepalsuan itu terbukti daripada proses yang berlaku kepada diri baginda, iaitu daripada seorang yang lahir sebagai anak yatim, mencari-cari kebenaran, juga sebagai seorang yang miskin, maka Allah telah memberikan segala hidayah dan petunjuk-Nya, sehingga baginda kemudiannya lahir sebagai pemimpin yang ulung dan manusia yang amat sempurna tingkah laku dan akhlaknya.

Malahan dalam keadaan ini juga Allah mengingatkan baginda, bahawa pengalamannya semasa kecil sebagai anak yatim, miskin dan mencari-cari cahaya kebenaran, seharusnya menjadi satu panduan kepadanya dalam menghadapi manusia lain di sekelilingnya yang juga miskin, susah, memerlukan panduan dan sebagainya. Baginda dalam menghadapi keadaan ini seharusnyalah menjadi orang yang dapat memahami keadaan itu dengan baik, dan memberikan sumbangan kepimpinan dan tunjuk ajar yang baik, serta berlemah lembut dengan golongan tersebut.

Inilah sebenarnya yang menjadi wadah masyarakat Islam sepanjang masa, iaitu agama itu adalah pendidikan seperti yang ditegaskan sentiasa bahawa agama itu adalah nasihat. Konsep ini menjadi satu institusi kemasyarakatan dalam agama kita, iaitu institusi al-amru bilma'ruf wan-nahyu anil munkar, membangun dan mengembangkan segala kebaikan, dan menghapuskan segala kemungkaran. Konsep ini juga sering dikemukakan sebagai konsep menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran.

Konsep agama itu, nasihat, amar makruf dan nahi mungkar, adalah menjadi tanggungjawab semua. Sebagai individu atau ahli masyarakat, sebagai rakyat dan pemerintah, sebagai ibu bapa dan anak, para guru dan anak murid, maka semuanya bertanggungjawab untuk menegakkan makruf dan menghapuskan mungkar. Masing-masing mempunyai peranannya dalam menghayati dan melaksanakan gagasan ini. Sekiranya semua pihak menyedari akan tanggungjawab masing-masing ke arah membina kesejahteraan masyarakat manusia seluruhnya, maka pada masa itu tidak akan ada lagi orang yang sering menyalahkan orang lain, atau yang hanya bertindak menuding jari kepada orang lain, mencari kesalahan orang lain, seolah-olah dirinya sahaja yang baik.

Kesan pendidikan yang baik amat besar di dalam melatih semua peringkat hamba Allah untuk menjadi manusia yang baik. Pendidikan itu tidak semestinya hanya dengan menggubal undang-undang yang keras, dan menguatkuasakan hukuman yang berat pula. Malah kadang-kadang satu undang-undang yang keras dan berat masih tidak dapat membendung jenayah dan salah laku manusia dengan sebaik-baiknya, sekiranya manusia di dalam masyarakat itu tidak dibangunkan dengan mental dan perasaan yang positif, berfikiran sihat, dan penuh dengan penghayatan nilai agama dan moral yang baik.

Dari contoh yang amat mudah sahaja kita dapat melihat bagaimana kesan pendidikan yang baik dapat melahirkan pekerja yang baik di dalam beberapa sektor yang tertentu. Syarikat-syarikat gergasi Jepun mempunyai cara pendidikan yang amat komprehensif kepada para pekerjanya supaya sentiasa mematuhi etika kerja yang baik untuk menjadikan syarikat itu sebagai syarikat yang produktif, dan para pekerjanya pula sentiasa berdisiplin dan bermoral tinggi, terutama dalam perhubungan dengan majikan dan sesama pekerja.

Kalau kita memasuki restoran makanan segera yang berasal dari Amerika atau Eropah, maka kita akan dapat melihat satu suasana yang mesra dan hormat di kalangan para pekerjanya. Kita berasa seolah-olah kita berada dalam restoran yang sama di tempat asalnya. Pelayan yang menerima pesanan kita bersikap mesra, ramah, hormat dan cekap. Setelah kita menerima pesanan kita, dia akan mengucapkan terima kasih dengan senyuman, dan memulangkan wang baki kepada kita dengan menyatakan jumlahnya sekali.

Hal ini adalah merupakan kesan orientasi dan latihan yang diberikan kepada mereka dengan caranya yang amat berkesan, iaitu sekiranya ingin bekerja di tempat tersebut, maka mereka mestilah mematuhi set moral, etika kerja yang menjadi peraturan tempat itu. Maka sebahagian besarnya akan terdidik dan terlatih begitu, kecuali beberapa orang yang tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan budaya kerja tersebut, dan biasanya orang-orang ini masih akan berlaku kasar dan tidak cekap dalam menjalankan tugas.

Tetapi pada umumnya semua restoran atau gedung dan syarikat seperti ini sering mempunyai skim dan rancangan latihan yang ketat dan berterusan. Mereka membelanjakan wang yang banyak untuk melahirkan pekerja yang berdedikasi, berdisiplin dan cekap bekerja.

Saya perhatikan pada suatu ketika dulu, terdapat sebuah syarikat baru yang mulai mengendalikan kutipan tol. Pada mulanya pekerja-pekerjanya amat mesra, memberi salam dan ucapan terima kasih, serta bermuka manis dan memandang muka pelanggan, tetapi lama-kelamaan, pemungut tol itu kebanyakannya kembali semula kepada tabiat lama mengambil wang tanpa senyum, tanpa terima kasih, malahan tanpa melihat lagi siapakah yang menghulurkan wang kepadanya.

Hal yang sama berlaku hampir di semua tempat, pasar raya, kedai, bank, pejabat swasta atau kerajaan, kaunter bayaran lesen dan sebagainya, di mana amat sedikit kelihatan orang yang mesra dan ramah, yang menjawab pertanyaan dengan baik, yang prihatin dengan pelanggan, yang bekerja dengan tekun dan cekap. Pelanggan yang membayar wang sering kali mengucapkan kata-kata terima kasih kepada orang yang menerima wang. Perkataan terima kasih seolah-olah tidak lagi menjadi budaya hidup kita di Timur.

Sebab itulah saya menegaskan di atas bahawa semua kalangan masyarakat kita pada hari ini haruslah mulai mencari jalan yang lebih luas dan mendalam lagi bagaimanakah mendidik anak-anak kita dan generasi baru supaya menjadi orang yang berakhlak dan bermoral tinggi. Konsep agama itu nasihat, amar makruf dan nahi mungkar haruslah lebih teliti lagi diberikan tafsiran baru dalam bentuk pengisian dan operasionalnya, bukan dalam ceramah yang penuh retorik dan tidak berpijak di bumi nyata.

Orang Barat yang kita sering anggap rosak akhlaknya itu, masih dapat menampilkan imej positif dan mesra dengan orang di sekelilingnya, terutamanya ketika mereka mempunyai kepentingan perniagaan dan kepentingan lain. Malah orang-orang yang berjalan di atas jalan raya itu pun, kadang-kadang kalau diminta tolong, maka mereka dengan penuh ikhlas akan berusaha memberikan pertolongan. Hal inilah yang direalisasikan ketika mereka memandu, terutamanya pemandu kenderaan yang membawa penumpang seperti bas umpamanya, mereka akan sentiasa menjaga undang-undang, bukan memandu yang membahayakan nyawa penumpang.

Inilah imej umum masyarakat Barat, tanpa menafikan bahawa di sana juga terdapat salah laku dan tabiat yang biadab yang amat buruk, dan tanpa menafikan juga bahawa dalam masyarakat kita juga terdapat ramai orang yang bersifat dan bersikap baik dan ramah serta mesra.

Apa yang hendak saya tekankan di sini, kita nampaknya haruslah memfokuskan segala perhatian kita kepada pendidikan moral dan akhlak, cara bergaul dengan baik, menghormati sesama kita, bercakap dengan beradab, bertindak cara lembut dan bersopan dan yang lebih pentingnya berkelakuan sebagai manusia yang berilmu dan bertamadun. Serentak dengan itu maka kuat kuasakanlah undang-undang, iaitu bagi mereka yang benar-benar tidak lagi dapat berdisiplin tanpa tindakan undang-undang.

Masanya telah tiba bagi ahli undang-undang, sosiologi, psikologi, agama dan lain-lain untuk duduk bersama membicarakan agenda mereka untuk menyediakan warganegara dan angkatan baru yang berperadaban menjelang kelahiran negara maju pada tahun 2020.

No comments: