Wednesday, October 10, 2007

Memerangi pornografi lembut yang membuahkan keganasan, kekasaran - Memulihkan moral dan etika

SYUKUR kepada Allah kerana kita di negara ini sekurang-kurangnya dapat menyambut hari kemerdekaan pada hari ini dalam keadaan aman dan damai. Tidak ada dentuman meriam atau senapang yang kedengaran, tidak ada bangunan yang runtuh akibat bom kereta atau pejuang berani mati yang meletupkan dirinya berserta sasarannya, dan tidak ada pertumpahan darah atau perjuangan bersenjata sesama sendiri untuk menjatuhkan di antara satu dengan yang lain. Maka semuanya ini menjadikan kita amat bersyukur dan berbangga dengan keadaan negara yang stabil, rakyat yang menunjukkan tamadun dan peradaban yang tinggi serta bertindak secara rasional, sesuai dengan tradisi turun-temurun kita yang berpegang teguh dengan etika dan adab yang baik.

Saya menyebut begini kerana dunia keseluruhannya pada hari ini berada dalam satu kekacauan yang amat hebat. Walaupun dunia semakin maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi, tetapi dunia sebenarnya berada dalam satu krisis peradaban dan moral yang amat parah. Sebab itulah Islam amat menekankan tentang akhlak dan adab. Kita semua mengetahui bahawa baginda Rasulullah menegaskan bahawa baginda diutuskan ke seluruh alam ini adalah untuk memperbaiki akhlak manusia supaya menjadi sempurna.

Akhlak yang sempurna tidaklah seperti kita fahami dalam bentuknya yang sempit iaitu yang hanya termasuk dalam pengertian tingkah laku yang beradab, menghormati orang tua dan guru, makan dan minum dengan sopan dan sebagainya yang termasuk dalam sifat-sifat keperibadian yang baik oleh individu.

Tetapi untuk mengetahui erti akhlak dalam pengertiannya yang menyeluruh seperti dikehendaki oleh agama, maka perhatikanlah apa yang berlaku di dalam dunia pada hari ini. Kuasa besar dunia dan negara maju dunia amat tidak berakhlak apabila bertindak mengeksploitasi kemiskinan dan kemunduran negara-negara membangun dan lemah.

Penjajahan yang dilakukan ke atas negara dunia ketiga umpamanya merupakan satu pencabulan nilai akhlak yang serius, apalagi pencerobohan yang memakan korban nyawa manusia yang tidak berdosa, kanak-kanak, orang tua, wanita dan orang-orang yang lemah dan tidak dapat mempertahankan diri mereka seperti berlaku sekian lama dalam dunia ini, termasuk yang terakhirnya di Iraq.

Penjajahan itu lebih berdasarkan nafsu gelojoh kebendaan dan gila kuasa oleh mereka yang kuat dan gagah, dan dilakukan kononnya atas nama kemanusiaan dan kemerdekaan bagi rakyat dan negara yang dijajah itu. Akhirnya segala kekayaan negara tersebut dan hasil bumi kurniaan Allah kepada negara itu akan dimanfaatkan oleh golongan dan konco penjajah itu.

Penindasan dan pembunuhan yang dilakukan ke atas negara lemah seperti Palestin juga merupakan satu pencerobohan nilai akhlak yang amat jelas. Setiap hari nyawa rakyat Palestin diambil dengan kejam tanpa sebarang penghormatan kepada hak asasi mereka untuk hidup dan mempunyai negara sendiri seperti manusia lain di dunia ini.

Tetapi perbuatan yang tidak bermoral ini sering dijustifikasi oleh pihak yang melakukannya, kerana kezaliman ini dilakukan oleh pemerintah yang berkuasa, apalagi seperti dilakukan oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat atas alasan untuk menghapuskan keganasan yang dilakukan oleh pengganas yang menyerang negara mereka pada 11 September 2001.

Kerajaan Zionis Israel juga sering menjustifikasikan perbuatan mereka atas alasan untuk membunuh penyerang berani mati yang telah melakukan serangan ke atas pengangkutan awam, restoran dan tempat awam mereka di dalam negara tersebut.

Tetapi kenapa para pengganas bertindak menyerang tempat awam dan kepentingan AS, dan kenapa rakyat Palestin bertindak melakukan serangan berani mati, tidak pernah diberikan perhatian, apalagi diberikan penyelesaian dari perspektif yang betul dan adil?

Dua contoh di atas agak mencukupi untuk menggambarkan kepada kita bahawa di dalam dunia yang maju pada hari ini, terdapat kerajaan yang tidak bermoral dan berakhlak, yang tidak menghormati nilai-nilai kemanusiaan dan hak asasi manusia yang mereka sendiri sering menjajanya ke sana sini.

Dengan itu tidak hairanlah kenapa Rasulullah menegaskan tentang pentingnya manusia mempunyai akhlak yang sempurna, dan baginda tentulah ingin menyampaikan mesej ini kepada semua manusia, tidak kira atas sifat manusia sebagai kumpulan atau individu, dan tidak kira sama ada tindakan berakhlak itu bersifat peribadi atau dasar umum yang lebih menyeluruh.

Bagi sesiapa yang mempelajari Islam, maka ia akan mengetahui bahawa Islam mempunyai tiga komponen sebagai satu cara hidup yang sempurna, iaitu yang berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak. Maka kita umat Islam juga seharusnya dapat mengkaji secara yang amat komprehensif tentang ciri-ciri akhlak seperti kita lakukan terhadap akidah dan syariah supaya kefahaman kita tentang akhlak tidak hanya disempitkan kepada sifat-sifat peribadi yang agak terhad.

Bagaimanapun dalam kita bersyukur dan berbangga, kita tidak seharusnya leka dan lalai dalam menghadapi perkembangan di sekeliling yang berlaku di dalam masyarakat kita sendiri. Kita tentunya menerima banyak kejutan juga menjelang hari-hari kemerdekaan pada masa yang terakhir ini. Kejutan yang berlaku menjadikan kita seolah-olah termangu-mangu tidak tentu arah dan tidak percaya bahawa perkara itu boleh berlaku di dalam masyarakat kita.

Sungguhpun kita tidak dikejutkan oleh dentuman peluru dan meriam, tidak terpaksa lari bertempiaran menyelamatkan diri daripada tembakan rakan-rakan kita sendiri, tetapi kita terkejut juga mendengar kejadian anak sekolah yang beralih menjadi samseng yang ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Kita mendengar dan rata-ratanya mengetahui melalui media massa bagaimana seorang pelajar dipukul dan ditendang sebegitu kejam sehingga hilang buah pinggang dan merosakkan beberapa organ badannya yang penting. Buah pinggang yang dikurniakan Allah kepada manusia sebanyak dua buah merupakan organ penting dalam badan manusia. Kedua-duanya haruslah berfungsi dengan baik untuk kesihatan manusia sepanjang hayat. Memang betul satu buah pinggang dapat menyelamatkan kesihatan manusia, tetapi sekiranya satu yang tinggal itu pula rosak, maka tidak ada simpanan buah pinggang, dan manusia itu akan mengalami masalah yang amat rumit dalam menjaga kesihatannya.

Maka dapatlah kita bayangkan bagaimana potensi dan risiko yang dihadapi oleh pelajar ini dalam kehidupannya yang masih mentah dan muda, dan semua ini adalah gara-gara perbuatan samseng yang tidak berakhlak dan tidak mengenal batas-batas perikemanusiaan dalam kehidupan yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar yang tidak mempunyai sebarang sebab yang besar untuk bertindak sebegitu rupa.

Setelah itu kita mendengar juga sekumpulan pelajar lain dari sebuah sekolah berasrama penuh yang juga melakukan perbuatan dalam keadaan yang sama dan membawa ciri-ciri kumpulan pemeras ugut dan keganasan yang sama seperti dapat kita saksikan di kalangan pelajar di atas, dan yang merupakan satu refleksi gejala kebinatangan yang ganas.

Kalau sebelum ini kita hanya mendengar di negara Barat dan Amerika Syarikat tentang para pelajar yang bertindak liar dan ganas menembak guru atau kawannya, maka nampaknya dalam skop yang kecil gejala itu telah mula menjalar ke dalam masyarakat kita. Kita tentu masih ingat pada suatu ketika dulu terdapat pelajar yang membakar rumah gurunya, mencalar dan memecahkan tayar kereta guru, malah memukul guru.

Oleh itu nampaknya hal ini mulai membesar dan merebak, menjadi lebih bahaya dan parah sekiranya tidak dicari jalan dan dikaji di manakah salahnya. Untuk mencari sebab dan salahnya bukanlah satu perkara yang mudah, kerana jiwa dan perasaan manusia amatlah kompleks. Mungkin para guru dengan perundingan dengan ibu bapa dan pakar psikologi dan kemasyarakatan serta pendidikan dapat berusaha mengkaji dan mempelajari kes-kes ini dengan teliti secara holistik.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa berasaskan pengalamannya di dalam dan di luar negara, seperti di Jepun, ternyata bahawa perangai anak-anak muda kita mulai berubah dan nilai mereka juga berubah disebabkan oleh program TV dan media elektronik, yang penuh dengan unsur keganasan dan seks melulu. Program ini dapat mempengaruhi cara anak-anak muda kita berfikir dan menilai sesuatu.

Bagi saya komen ini adalah satu komen yang adil dan mempunyai asas. Sebab itulah telah saya tuliskan di dalam ruangan ini beberapa minggu lalu tentang pengaruh seks melulu dan ciri-ciri pornografi yang terdapat di dalam media elektronik kita. Telah saya nyatakan bahawa pornografi yang seharusnya dihapuskan bukanlah pornografi yang melulu dan melampau yang termasuk di dalam kategori hard phonography seperti tindakan kita mengharam dan menghapuskan pita video dan cakera padat lucah yang diperangi secara besar-besaran sekarang ini.

Kita mengetahui bahawa dalam program lawak jenaka, hiburan dan nyanyian, drama dan filem terdapat unsur-unsur pornografi secara yang lembut di samping ciri-ciri yang boleh membantut pemikiran dan menghakis budaya serta nilai hidup yang positif. Cara penyanyi bernyanyi dalam saluran V atau Muzik TV, cara berpakaian mereka serta peluk cium mereka yang membangkitkan nafsu, demikian juga siri-siri lain yang hampir serupa, Begitu juga dengan program gusti atau drama yang menggambarkan keganasan dan kekasaran sesama manusia selain daripada pembunuhan, tembak-menembak dan sebagainya.

Hal ini sebenarnya telah lama diperkatakan, dan seperti kata Perdana Menteri sekiranya terlalu banyak orang memperkatakan tentang penapisan, maka akan adalah kumpulan yang akan bangun menentang atas alasan mempertahankan hak asasi dan kebebasan yang perlu mereka nikmati.

Saya rasa dalam keadaan begini, sungguhpun bukannya program TV itu yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap salah laku dan penyelewengan moral dan akhlak anak-anak kita, tetapi satu langkah konkrit haruslah diambil dalam menilai semula fungsi dan paparan media elektronik di dalam negara kita ini.

Satu mutu penapisan yang berasaskan kepada kajian mendalam tentang pengaruh negatif TV haruslah disediakan untuk pihak penapis menjalankan tugas mereka. Sekiranya terdapat saluran TV swasta atau satelit yang tidak tertakluk kepada penapisan, maka saluran itu juga seharusnya segera diletakkan di bawah badan penapis tertentu.

Sekarang ini nampaknya media elektronik lebih mementingkan komersial dan keuntungan daripada menjadi alat hiburan dan pendidikan yang baik. Dengan ini maka kita telah bertindak mengorbankan nilai-nilai positif yang baik di kalangan penonton, dan meletakkan mereka di bawah pengaruh minuman keras yang memabukkan, kemudian kita memberikan kepada mereka kereta lumba untuk berlumba di jalan raya.

Kita amat mengharapkan bahawa tanpa peluru dan senjata yang mengganggu ketenteraman masyarakat kita dalam menyambut kemerdekaan pada tahun ini, maka usaha memulihkan akhlak dan moral haruslah dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Seperti kita bertindak memerangi pornografi melulu, maka kita juga haruslah bertindak memerangi pornografi lembut yang berbahaya dan membuahkan keganasan dan kekasaran.

Inilah sebenarnya satu agenda pemulihan akhlak dan moral yang seharusnya kita usahakan sempena hari bahagia ini.

No comments: