Oleh Dr. Ismail Ibrahim
MEMANGLAH bola itu bulat, dan tidak hairanlah akhirnya banyak pasukan bola sepak Asia yang kuat pada awalnya dalam kejohanan Piala Asia 2007 terpaksa gulung tikar.
Komuniti Malaysia di Arab Saudi khususnya, dalam menghadapi kejohanan bola sepak Piala Asia kali ini, berasa terhibur juga kerana dua sebab. Pertama walaupun gundah-gulana dengan kekalahan awal Malaysia tetapi kini pasukan tuan rumah lain yang garang itu pun akhirnya terkeluar, meskipun mereka gagal setelah berjuang bermati-matian, dan kita gagal dengan penuh selesa.
Kedua, orang Malaysia di Arab Saudi terubat rindunya kepada tanah air kerana salah satu perlawanan separuh akhir diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, tambahan pula para pengulas sukan Arab amat pemurah dengan segala pujian yang berjela-jela kepada stadium yang besar dan indah ini, melarat kepada keindahan Kuala Lumpur dan negara Malaysia umumnya.
Pada hari kemenangan pasukan bola sepak Arab Saudi dan Iraq yang akan bertemu di perlawanan akhir, dunia Arab seperti kiamat. Ramai kawan kami di ibu kota Saudi, iaitu Riyadh, juga di bandar-bandar lain, tidak berani keluar pada malam itu, kerana bandar menjadi hiruk-pikuk dengan kenderaan, perarakan, orang bersorak dan menyanyi, membawa bendera dan berterbangan dengan serban dan jubah terkinja-kinja menari di atas jalan raya, bumbung kenderaan, dan paling berbahayanya kenderaan akan meluncur bersimpang siur seperti kilat tanpa tujuan.
Memang dari awal-awal lagi, pengulas sukan semua media Arab, meletakkan harapan dan berdoa agar perlawanan akhir dimonopoli oleh pasukan bola sepak Arab. Kini doa mereka terkabul. Mereka sudah pun memulakan pesta di dalam TV Arab setelah wisel penamat dibunyikan di Vietnam dan Malaysia menandakan hajat mereka untuk melihat Arab menguasai perlawanan akhir bola sepak Piala Asia menjadi kenyataan.
Pengulas sukan Arab juga mendoakan kemaraan Iraq kerana kata mereka hanya dengan sukan, rakyat Iraq yang bergelumang darah setiap hari akan bersatu tanpa mengira ideologi mazhab dan keturunan. Dan memang pun hal ini kelihatan tepat dan benar apabila pada malam pertama selepas kejayaan Iraq melayakkan diri ke suku akhir lagi, rakyat Iraq keluar berama-ramai ke dalam bandar merayakan kemenangan itu.
Layak
Apa lagi, setelah Iraq layak ke perlawanan akhir, maka sekali lagi bandar dan kota raya Iraq yang saban hari penuh dengan ledakan peluru dan bom, menyaksikan kebanjiran ribuan manusia yang keluar beramai-ramai, bersorak, menyanyi, menari, menembak ke udara dan mengibarkan bendera, penuh riang dan gembira.
Cakap-cakap bola bermula di Iraq sejak tahun lalu. Tetapi ketika itu cakap-cakap ini bermula dengan cakap sukan keseluruhannya. Rakyat Iraq dalam sibuk-sibuk berperang merasakan mereka perlu menggiatkan aktiviti sukan sebagai cara melepaskan ketegangan anak-anak muda yang telah jemu dengan keganasan dan aktiviti bersenjata askar dan polis.
Tetapi, niat baik ini akhirnya terganggu dan gagal juga, kerana hingga ke rancangan untuk menggiatkan aktiviti sukan ini pun, terdapat orang yang tidak menyenanginya. Tahun lepas, segerombolan militia bersenjata yang tidak dikenali, menyerbu bangunan yang menempatkan pejabat dan ruang Majlis Olimpik Iraq, terus menculik pegawai eksekutif dan setiausaha serta ahli-ahli Majlis tersebut yang sedang mengadakan mesyuarat lalu membawa mereka entah kemana. Hingga kini, tidak pernah terbaca di dalam sebarang berita tentang nasib mereka.
Dengan itu, rasa-rasanya Majlis Olimpik itu menjadi beku dan terbengkalai, kerana biasanya apabila berlaku kejadian seperti ini, orang lain keberatan dan enggan menjadi penggantinya.
Pasukan bola sepak yang ditubuhkan untuk Piala Asia ini pun sebenarnya tidak berpangkalan di Iraq. Pasukan bola sepak, yang bagi sesiapa sahaja yang berfikiran waras akan menganggapnya sebagai satu pasukan yang tidak terlibat dengan sebarang ideologi politik dan agama, tetapi di Iraq hal ini menjadi sebaliknya. Perkara ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila hampir semua aktiviti dan medan kegiatan sering menjadi sasaran pembunuhan dan bom serta perangkap pejuang berani mati yang meletupkan diri dengan bom.
Saya pernah menulis tentang jalan ilmu yang dinamakan Jalan Al-Mutanabbi, di kota Baghdad, iaitu jalan sempena nama penyair agung Arab, Al-Mutanabbi, telah dibom, diruntuhkan segala kedai buku, dibakar gedung perpustakaan dan dihancurkan warisan budaya, ilmu dan sastera.
Universiti, sebagai gedung pengetahuan, sains dan teknologi serta warisan budaya dan agama, juga tidak terkecuali dari serangan bom kereta dan pengebom berani mati. Pelajar dan siswa menjadi korban, dan banyak gedung ilmu itu, termasuk sekolah yang ditinggalkan oleh tenaga pengajar juga sebahagian besar pelajarnya.
Hal inilah yang cuba dibangkitkan oleh pengulas sukan Arab, iaitu yang amat berharap bahawa dengan sukan, rakyat Iraq dapat disatukan. Tetapi kejadian di pejabat Majlis Olimpik Iraq seolah-olah menghantar isyarat yang jelas, bahawa aktiviti dan para penggiat sukan juga tidak terlepas daripada unsur politik dan aliran agama, tidak terlepas dari serangan yang mengancam nyawa.
Dibentuk
Sebab itulah pasukan bola sepak Iraq yang dibentuk untuk bertanding dalam kejohanan Piala Asia itu juga dibawa lari. Di Jordan mereka berlatih, berkampung selama dua bulan, sambil dijaga keselamatan mereka dengan rapi dan ketat. Jurulatih mereka dari Brazil, Jorvan Viera, turut berada di samping pasukan itu di Jordan, tanpa dapat melihat negara pasukan yang akan dilatihnya itu, atau berasa sendiri bagaimanakah suasana dan sokongan rakyat Iraq terhadap dirinya.
Tetapi, agaknya kerana bahang api peperangan yang membakar semangat para pemain Iraq, maka dengan masa latihan dan panduan yang ringkas selama dua bulan, serta belanja sekadar yang termampu, kini pasukan itu lahir dengan gagah, melewati semua rintangan dan kekuatan lawannya. Siapa sangka pasukan negara yang dilanda perang amat teruk itu, akan muncul sebagai pasukan terkuat, terutamanya dalam menentang gergasi bola sepak Asia yang sering menempah tiket ke Piala Dunia.
Tetapi sayangnya, harapan para pengulas sukan Arab, agar sukan bola sepak menjadi medan penyatu rakyat Iraq nampaknya tidak juga menjadi kenyataan. Pada malam kemenangan Iraq melangkah ke perlawanan suku akhir, ketika rakyat Iraq membanjiri jalan-jalan raya merayakan kemenangan, para pejuang bersenjata, rasmi dan tidak rasmi turut serta tetapi mereka merayakan kemenangan itu dengan tembakan senjata api. Akhirnya tiga rakyat mereka gugur. Tidak dapat dipastikan sama ada terkena tembakan yang disengajakan, atau peluru sesat.
Hal ini berulang lagi pada malam meraikan kemenangan ke perlawanan akhir. Dalam kebanjiran orang ramai merayakan kemenangan itu, tiba-tiba letupan kuat kedengaran di sebuah jalan di kota Baghdad, menyebabkan 109 orang mati atau cedera. Letupan itu diberitakan datangnya daripada seorang pejuang berani mati. Tiba-tiba dalam merayakan satu-satunya kemenangan yang amat bererti bagi rakyat dan negara mereka itu, rupa-rupanya ada juga pemusnah yang tidak diketahui motifnya. Mungkin dia menganggap membunuh diri dan orang lain yang sedang bersuka ria adalah “jihad”.
Kita tidak dapat meramal lagi, apakah yang akan berlaku pada hari mereka merayakan pertandingan akhir nanti, sama ada menang atau kalah dengan Arab Saudi. Mereka tentu akan mengadakan perayaan lagi, sekurang-kurangnya sebagai naib johan. Iraq pernah sampai ke peringkat separuh akhir kejohanan pada 1976, menentang Kuwait.
Nampaknya dunia mereka sedang kembali kepada undang-undang rimba, dan kehakisan manusia-manusia yang waras serta berfikiran. Cakap-cakap bola yang penuh suka-duka mungkin hanya dapat dibicarakan di negara-negara lain, tetapi tidak di Iraq, sekurang-kurangnya untuk sebahagian kecil penghuni negara ini yang telah dimusnahkan pemikiran dan tamadunnya, negara dan warisannya, oleh imperialis Amerika Syarikat dan kuncu-kuncunya.
Wednesday, October 10, 2007
Subscribe to:
Posts (Atom)