Friday, June 8, 2007

Jangan sombong ketika berkuasa

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SUNGGUHPUN Hari Raya Aidilfitri telah berlalu selama dua puluh satu hari menjelang hari ini, tetapi satu kebaikan yang ada di dalam masyarakat Islam di Malaysia ialah adat dan tradisi merayakan Hari Raya selama sebulan, iaitu keseluruhan bulan Syawal ini.

Rumah terbuka dan jamuan Hari Raya masih lagi diadakan di sana sini sebagai satu wadah mengeratkan tali silaturahim dan persaudaraan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam sempena hari mulia itu.

Satu perkara yang ditekankan di dalam masyarakat Hari Raya selain daripada kesyukuran kerana merayakan kemenangan melawan hawa nafsu, ialah membangun dan memupuk sifat maaf-bermaafan di antara satu dengan lain.

Sifat bermaaf-maafan menjadi amat sebati di dalam jiwa kita, iaitu bermaafan sesama ahli keluarga yang dekat dan jauh, dengan jiran tetangga, sahabat taulan dalam merealisasikan konsep Aidilfitri yang bermaksud kembali kepada fitrah dan kebersihan, suci dari pencemaran dosa dan kesilapan dengan Allah s.w.t dan sesama insan.

Sikap memaafkan sesama manusia merupakan satu amalan Islam yang amat unggul sebagai satu cara menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat manusia.

Ketika Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. merasa amat marah dengan seorang yang turut menyebarkan gosip dan fitnah terhadap puterinya Aisyah, maka beliau telah bersumpah tidak akan memaafkan orang itu dan tidak akan memberikan sebarang bantuan lagi kepadanya. Kerana peristiwa ini menurut para pentafsir al-Quran, maka turunlah ayat 22 dari Surah Al-Nur yang bermaksud:

Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabat, orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa manusia yang sedang marah kerana perbuatan manusia lain yang menyebarkan fitnah dan tuduhan palsu seperti yang dihadapi oleh Sayyidina Abu Bakar diminta oleh Allah s.w.t supaya mengambil jalan kemaafan dan berlapang dada terhadapnya.

Pendirian dan sikap ini merupakan satu sikap yang amat unggul yang diajarkan oleh agama kita.

Harapan dari pendirian ini ialah semoga orang yang suka membuat fitnah dan tuduhan melulu terhadap orang lain akan insaf dan sedar tentang kesilapan dirinya, terutamanya apabila menyedari bahawa tuduhan dan fitnah yang disebarkannya itu adalah ternyata palsu dan tidak benar.

Inilah sebenarnya falsafah di sebalik konsep maaf memaafkan di antara manusia, iaitu dalam semangat mengharmoni dan membetulkan perhubungan dan jalinan persaudaraan di antara sesama manusia. Dengan itu permusuhan akan berlalu dan hilang sama sekali.

Dalam konteks ini juga kita dapat melihat bagaimana contoh paling baik yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w sendiri ketika baginda pulang untuk membuka Mekah pada tahun kelapan Hijrah.

Setelah baginda ditentang oleh pihak musyrikin Mekah dengan hebatnya sehingga baginda terpaksa berhijrah ke Madinah, dan setelah baginda mengalami berbagai-bagai penderitaan semasa baginda berada di Mekah, maka kini baginda berjaya kembali semula ke tanah air tempat tumpah darahnya, maka apakah gerangannya yang akan dilakukan olehnya kepada orang-orang yang pernah menyeksa dan memusuhinya dulu.

Baginda tidakpun menyimpan dendam dan melahirkan kemarahannya kepada orang-orang Mekah itu. Baginda tidak pula bertindak menuntut bela dengan melakukan sesuatu yang menyakiti mereka atau meletakkan kehidupan mereka di dalam kesengsaraan dan penderitaan.

Orang-orang yang pernah memusuhi baginda, menanti dengan penuh kebimbangan apakah yang akan dilakukan oleh baginda kepada mereka pada hari kemenangannya ini. Tetapi rupa-rupanya baginda kembali ke Mekah dengan penuh takwa, dan baginda mengampunkan semua kalangan dan semua orang dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

Inilah semangat ketokohan dan keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka kita amat berharap bahawa semangat maaf bermaaf yang kita amalkan dalam bulan baik ini akan menjelma di dalam semua perbuatan dan tindakan kita.

Kalau kita berkuasa dan berjaya, maka tunjukkanlah sifat toleransi dan timbang rasa kepada semua orang. Ketika berkuasa janganlah cuba mengambil sikap keras menunjukkan autoriti dengan melakukan tindakan diskriminasi kepada orang lain yang dianggap sebagai musuh dan lawan. Malah satu perkara yang harus diingat bahawa Allah s.w.t juga mengingatkan kita dengan firman-Nya.

Demikianlah hari-hari ini Kami bergilir-gilirkan di antara manusia (Ali-Imran, ayat: 140).

Dan kita semua pun mengetahui bahawa kekuatan dan kekuasaan itu juga adalah kurniaan Allah yang boleh dicabut oleh-Nya pada bila-bila masa sahaja seperti yang selalu kita baca firman-Nya.

Katakanlah: Wahai Tuhan yang mempunyai kekuasaan, Engkau memberi kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki (Ali-Imran, ayat 26).

Oleh itu kenapa sombong dan bongkak ketika berkuasa sehingga sanggup bertindak sewenang-wenangnya terhadap orang lain.

Semangat bermaaf maafan ini hendaknya memberi satu panduan dan penghayatan baru kepada kita seterusnya, termasuk kepada orang-orang yang memenangi pilihan raya yang lalu, yang menang, yang kalah, yang berjaya membentuk kerajaan atau sebaliknya, terimalah semuanya itu sebagai kurniaan Allah s.w.t untuk sementara.

Jalanilah tugas dengan penuh amanah, bersih hati dan bertanggungjawab kepada Allah s.w.t dan sesama manusia. Ingat-ingatlah juga kata-kata hikmah: Ada hari untuk kita, dan ada hari untuk orang lain, hari ini untuk kita, hari esok belum tahu.

No comments: