Friday, June 8, 2007

Hak bersuara ada sempadan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
DI DALAM ajaran Islam setiap kebebasan mempunyai batas dan hadnya yang tertentu. Hak bersuara umpamanya bukanlah diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa saja yang ia mahu tanpa mempunyai prinsip dan asas yang tertentu.

Masyarakat Barat yang terkenal dengan masyarakat permisif tanpa terikat dengan prinsip nilai akhlak kerohanian memanglah memberikan hak yang luas kepada kebebasan ini. Voltaire mengisytiharkan bahawa ''Saya tidak menerima apa yang anda katakan. Tetapi saya akan bermati-matian mempertahankan kebebasan anda untuk bersuara''.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt ketika mengemukakan empat perkara dalam gagasan kebebasan menegaskan bahawa, ''Hak pertama ialah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat di mana saja mereka berada di dalam dunia ini''.

Sejak itu, semua yang terlibat dengan penampilan kepada masyarakat seperti penulis, artis, kartunis, pengusaha filem dan sebagainya telah memasuki gelanggang masing-masing dengan penuh kebebasan untuk menyata dan menterjemahkan perasaan, fikiran dan bisikan naluri mereka, termasuklah memberikan idea dan pandangan tentang segala-galanya di dalam masyarakat tanpa ragu-ragu lagi.

Medan terbaru yang dimasuki oleh manusia moden pada hari ini ialah medan teknologi dan komunikasi maklumat yang telah dipergunakan dengan seluas-luasnya oleh mereka untuk mencari keuntungan kebendaan seperti berdagang dan berniaga, termasuk memperniagakan bahan-bahan lucah dan tidak bermoral. Laman baru ini juga dimasuki oleh orang-orang yang ingin memberikan pandangan dan pendapat peribadi tentang agama, politik dan sosial sehingga pandangan tentang hal ini menjadi terlalu banyak disebarkan ke seluruh dunia tanpa sempadan ini.

Di kalangan masyarakat Islam sendiri hal ini menjadi duri di dalam daging yang amat menyakitkan. Kes buku tulisan Salman Rushdie The Satanic Verses amat menggemparkan masyarakat Islam, dan hal ini sama seperti laman web yang mempamerkan tohmahan tidak berasas kepada Islam dan baginda Rasulullah s.a.w mengenai perkahwinan baginda dengan wanita-wanita yang menjadi isteri baginda yang amat disalahtafsirkan oleh musuh Islam itu.

Pejuang kebebasan wanita Bangladesh juga menurut jejak Salman Rushdie ketika mengemukakan komen-komennya yang amat sinikal tentang kitab suci al-Quran dan undang-undang syariah, malah baru-baru ini masyarakat Islam di Malaysia dikejutkan juga oleh penulis Nora Marzuki dengan komennya tentang tudung wanita yang dirasakan agak menyentuh hukum agama, terutamanya apabila ditulis secara senda gurau sebagai bahan ketawa.

Apa yang berlaku di dalam masyarakat Islam rasanya amat menggalakkan orang bukan Islam yang menaruh permusuhan kepada Islam menjadi amat terdorong untuk melahirkan rasa permusuhan mereka kepada umat dan agama Islam melalui hak dan kebebasan bersuara ini. Kita tahu wujudnya laman-laman web di dalam Internet, buku-buku yang tertentu, risalah dan surat yang dikeluarkan untuk tujuan memburuk-burukkan ajaran Islam di samping lawak jenaka yang mempersendakan nilai-nilai ajaran agama.

Mungkin ramai juga yang mengetahui wujudnya filem yang cuba menceritakan secara menyeleweng tentang Nabi Isa a.s. iaitu tentang kehidupan seks baginda seperti filem The Last Temptation of Christ.

Kita sebenarnya merasa amat tersinggung sekiranya hak asasi ini dipergunakan oleh media Barat untuk memberikan imej yang negatif terhadap umat Islam seperti yang banyak berlaku di dalam media Barat selama ini. Malahan kita juga tersinggung dengan penampilan program TV yang terlalu banyak menonjolkan nilai permisif dalam hubungan lelaki wanita, minuman keras, perjudian dan sebagainya.

Banyak program dari Barat yang menonjolkan perkara ini termasuk di dalam program-program jenakanya seperti program Friends yang amat digemari oleh generasi muda.

Seperti yang diterangkan di atas bahawa di dalam dunia moden dengan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih ini kebebasan tersebut akan dipergunakan dengan seluas-luasnya tanpa tapisan dan sempadan. Malah seperti yang dapat kita saksikan rakyat kita sendiri telah menggunakan teknologi ini dengan segala kebebasannya menyibarkan maklumat sama ada betul atau palsu, cerita tentang orang dalam bentuk tohmahan atau fitnah, mengeluarkan fatwa-fatwa tertentu dan sebagainya sehingga laman-laman seperti ini menjadi amat eksklusif dan diminati.

Oleh itu, dalam menangani hal ini nampaknya hanya akal budi dan ilmu yang berasaskan kepada agama dan nilai moralnya yang akan dapat menjadi panduan bagi manusia melawan kehendak hati yang berasaskan kebebasan mutlak hukuman manusia itu.

Falsafah hak asasi manusia yang tidak terbatas menjustifikasikan kelakuan manusia, sama ada yang selaras dengan fitrah kejadiannya atau pun tidak.

Hal ini sebenarnya yang meletakkan beban yang amat berat ke atas bahu kita sebagai insan yang beragama dan beriman, termasuk para ibu bapa, guru-guru, pemimpin masyarakat dan sebagainya.

Oleh itu, Islam telah mengehadkan kebebasan ini di dalam berbagai-bagai bidang. Makan dan pakailah dengan bebas, tetapi hal ini tertakluk kepada sistem dan peraturan yang tertentu.

Berkahwin dan berketurunan, juga tertakluk kepada ajaran yang tertentu. Demikian juga di dalam perkara-perkara yang lain, termasuk menulis, menyanyi, berlakon, berbicara atau bercakap, maka semuanya tertakluk kepada nilai-nilai yang ditentukan oleh agama.

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Nisa', ayat 135:

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbelitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi. Maka sesungguhnya Allah adalah maha mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.

Ayat ini memberikan dua asas penting dalam kehidupan kita, termasuk ketika melaksanakan segala hak asasi manusia. Dua perkara itu ialah kebenaran dan keadilan. Kebenaran dan keadilan ini pula adalah berdasarkan prinsip dan ajaran Islam yang sebenarnya, bukan kebenaran dan keadilan yang diomong-omongkan oleh orang-orang yang tidak berilmu atau berdasarkan emosi dan sentimen tertentu.

Pendeknya manusia harus mendalami ilmu pengetahuan berasaskan world view Islam yang mendalam untuk memahami segala sesuatu yang bersumberkan ilmu pengetahuan dan gagasan moden dari Barat.

No comments: