Friday, June 8, 2007

Jangan layan orang jahil

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
DALAM menghadapi sebarang isu yang ditimbulkan oleh orang jahil dan tidak berilmu, kita seharusnya mengambil pengajaran yang dijelaskan Allah s.w.t. di dalam surah al-Furqan, ayat 63 yang bermaksud:

Hamba-hamba Tuhan (Pemurah) ialah mereka yang berjalan di muka bumi dengan merendah diri, dan apabila ditegur oleh orang-orang yang jahil maka mereka ucapkan (perkataan yang) sejahtera.

Penjelasan ini secara langsung menekankan tentang etika dan nilai moral orang Islam yang baik iaitu sering merendah diri, tidak sombong dan tidak bongkak. Dan apabila mereka ditegur atau dikritik oleh orang jahil, malah diumpat dan dikeji, maka orang-orang yang baik ini akan membalasnya dengan ucapan yang baik.

Hal ini juga sekali gus menggambarkan orang yang baik dan beriman itu ialah orang yang berilmu dan berakhlak.

Dalam masyarakat kita hari ini, nampaknya terlalu banyak kalangan yang bertindak kasar dan tidak beradab. Ramai yang sering bertindak biadab dan ingin menjatuhkan nama baik orang lain, terutamanya di kalangan masyarakat yang sering berselisih pandangan tentang isu politik, perniagaan, keluarga dan sebagainya.

Dengan demikian orang yang bertindak tanpa akhlak ini sebenarnya termasuk dalam golongan orang yang disebutkan oleh al-Quran sebagai 'orang-orang jahil' dan golongan ini merupakan orang yang tidak berilmu.

Justeru teguran dan kritikan melulu golongan orang yang jahil ini tidak seharusnya diberi perhatian serius sehingga tindak balas orang yang baik dan beradab ini juga turut menjadi kasar, biadab dan sebagainya.

Fenomena inilah, yang sering kita temui dalam masyarakat kita pada masa kini, misalnya jika berlaku tindakan kasar terus sahaja dibalas dengan kasar, maki hamun orang lain terus sahaja dibalas dengan maki hamun yang sama, atau lebih hebat lagi. Dengan itu terjadilah konfrontasi dan permusuhan yang membawa kepada perseteruan berpanjangan.

Di negara kita sekarang nampaknya golongan yang memahami agama sering terlibat dalam pertelingkahan dan perselisihan, walaupun tidak dinafikan bahawa hal ini berlaku terhadap semua golongan masyarakat.

Namun pergaduhan dan krisis yang berlaku di kalangan masyarakat lain tidaklah sesuatu yang amat ganjil kerana kalangan ini mungkin tidak begitu memahami nilai dan adab agama. Jadi perselisihan di kalangan orang yang memahami agama amatlah ganjil dan tidak sewajarnya berlaku.

Golongan orang yang berakhlak dan berilmu seharusnya dapat mengawal perasaan dan hati mereka walaupun mereka sering diserang dan dicela selagi serangan dan kejian itu tidak melampaui batas dan tidak menjejaskan maruah dan kehormatan diri.

Kalau orang yang berilmu dan berakhlak ini bertindak sama sahaja seperti tindakan orang yang jahil itu, maka mereka adalah termasuk dalam golongan yang sering bertindak dan berbicara secara sia-sia. Perbuatan yang sia-sia dan tidak memberi faedah ini juga sering diperingatkan dalam al-Quran supaya dijauhi oleh orang yang beriman dan berilmu.

Ayat 25 dan 26 di dalam surah al-Waqi'ah mengisahkan tentang orang yang baik di dunia, iaitu pada hari akhirat nanti mereka disifatkan seperti berikut:

Mereka tidak mendengar di dalamnya pengucapan-pengucapan yang sia-sia dan tidak (sesuatu) yang membawa kepada dosa, melainkan ucapan selamat-selamat.

Ayat 31 surah al-Naba' juga menceritakan hal yang sama dengan maksud:

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti akan mendapat kesenangan, kebun-kebun dan anggur, dan perawan muda yang sebaya dan piala yang penuh (minuman). Tidak akan mereka mendengar padanya perkataan yang sia-sia dan tidak dusta.

Jelas di sini bahawa perubahan sikap yang perlu diambil oleh golongan mukmin yang berilmu dan beradab, ialah tidak menghiraukan komen dan pengucapan buruk oleh orang yang jahil dan bebal. Dan tidak pula menghabiskan masa yang berharga dalam perkara-perkara yang remeh, tidak berfaedah dan sia-sia.

Inilah sifat-sifat orang yang berilmu dan berakhlak yang kelihatan amat kurang bilangannya dalam masyarakat kita masa kini, dari yang tinggi hingga yang paling bawah, yang kaya dan miskin, di kota atau di desa, yang beragama atau tidak beragama.

Dalam konteks persaudaraan Islam nampaknya sikap dan sifat orang yang berilmu dan berakhlak ini amat terabai, termasuk di kalangan orang yang bergelar tokoh dan wira. Ketokohan dan kewiraan mereka kadang-kadang dilenyapkan oleh emosi dan sifat kesombongan melampau, sehingga mereka juga menjelma ke dalam masyarakat orang jahil yang disebutkan oleh Allah s.w.t sebagai orang-orang yang sering berbicara dan bertindak secara sia-sia tanpa memberi faedah.

Mereka muncul sebagai tokoh konfrontasi dan wira yang agresif yang amat popular dan dikenali umum seperti kisah Nujum Pak Belalang yang kelihatan seperti orang yang amat pintar, tetapi yang sebenarnya jahil dan tidak berilmu.

Bagaimanapun orang beginilah yang sering juga menjadi terkemuka dalam masyarakat dan mendapat kepercayaan pihak yang tertentu.

Amat baik sekali dalam tahun baru dan abad baru ini kita binakan masyarakat yang lebih komited kepada ilmu pengetahuan dan pembangunan minda yang sihat agar masyarakat kita tidak dipenuhi dengan orang yang ''jahil'' dan sering bertindak secara sia-sia, atau sebagai ahli Nujum Pak Belalang yang tidak berilmu tetapi berlagak dan ''nasib baik'' yang diperoleh menjadikannya termasyhur, sedangkan dia pada hakikatnya adalah seorang jahil. Maka pada saat ini eloklah kita mengambil sikap tidak perlulah melayan orang jahil dan tidak berilmu.

1 comment:

Anonymous said...

tp kalau kita x layan org jahil,macam mana nak bawak mereka ke jln kebenaran...